Walaupun daunnya hanya berwarna hijau polos dengan sedikit corak berwarna hijau muda pada urat-urat daun, ia tetap cantik dan menarik untuk dijadikan tanaman gantung.

Tarikan penampilan turut diserlahkan dengan bunga yang berbentuk ala serombong atau trompet indah berwarna merah muda.

Pembiakan:

Ia senang dibiak menggunakan kaedah keratan hujung batang berdaun.

Untuk menanamnya, ikuti langkah mudah seperti berikut:

1. Potong hujung batang berdaun atau anak sulur pokok yang tumbuh daripada batang pokok induk.

2. Tanam dalam medium tanaman yang bersesuaian.

Selain itu, pokok Episcia ini juga boleh ditanam menggunakan anak sulur yang tumbuh dari celah di antara pangkal tangkai daun dan batang.

Tumbuhan ini gemarkan medium tanaman yang lembab berhumus tinggi tetapi haruslah mempunyai saliran yang baik iaitu air siraman mudah mengalir keluar.

Campuran medium yang disyorkan adalah medium untuk pokok berpasu iaitu dalam nisbah 3:2:1 (tanah peroi:bahan organik atau tanah gambut:pasir sungai).

Penjagaan:

1. Ia sukakan keadaan medium tanaman dan persekitaran yang sentiasa lembab. Untuk itu, penting agar tanaman ini disiram dua kali sehari pada waktu pagi dan petang, terutamanya dalam keadaan cuaca panas.

Sementelah itu, boleh juga sembur daunnya dengan air bagi mengekalkan kelembapan di persekitaran.

Usah terlalu bimbang tentang penjagaan kerana ia hanya perlu disiram lebih banyak jika cuaca terlalu panas sahaja.

Jika hari hujan, pokok yang mempunyai daun lebar ini akan terus terdedah kepada titisan air hujan.

2. Pokok ini perlu didedahkan kepada cahaya yang terlindung. Dedahan kepada cahaya pagi dan petang adalah sesuai tetapi elakkan dedahan kepada cahaya terik tengah hari yang boleh melecurkan daunnya.

3. Gunakan baja organik seperti najis ayam atau kelawar yang telah diproses. Sebagai alternatif, baja cecair atau baja garam larutan boleh juga digunakan.

Gunakan mengikut arahan seperti yang disyorkan pada pek baja yang digunakan. Baja bijian kurang sesuai untuk membajai pokok ini kerana ia boleh melecurkan daun pokok ini apabila terkena.

Idea pameran:

1. Pokok dewasa yang telah mengeluarkan anak sulur boleh digantung agar ia dapat tumbuh cantik memanjang dan berjurai ke bawah pasu.

Namun, ia juga sesuai ditanam dan dipamerkan di dalam pasu yang diletakkan di bawah untuk hiasan dalam kediaman.

Begitupun, pastikan ia dikeluarkan untuk dedahan kepada cahaya terlindung seminggu sekali.

2. Ia sangat sesuai ditanam sebagai pokok penutup bumi di kawasan lapang yang luas bagi mengelakkan hakisan tanah ketika hari hujan.

3. Ia juga sesuai digunakan sebagai salah satu pokok dalam gubahan bersama pokok berbunga atau berdaun dalam pasu untuk digantung atau dipamerkan di bawah.

Tip :

1. Potong daun-daun tua atau yang telah layu atau mati bagi mengekalkan pokok yang kemas dan sentiasa cantik.

2. Jika didapati pokok kurang subur walaupun dibaja dan disiram secukupnya, lakukan pemasuan semula atau membuat keratan setiap sulur anak benih untuk ditanam dalam pasu atau polibeg dengan medium yang baharu.