Ditambah pula, jika seseorang itu pernah membesar di kawasan perkampungan yang mempunyai alam semula jadi berkenaan, ia sudah pasti dianggap perkara biasa.

ZAINUDIN
ZAINUDIN 

Namun, berbeza pula dengan masyarakat yang sejak lahirnya membesar di ibu kota Kuala Lumpur. Beriadah di tepi sungai yang jarang-jarang dinikmati itu akan menjadi tumpuan mereka.

Pemilik restoran BBQ Lamb KL Kemensah, Zainudin Yatim, 50, berkata, keadaan itu mencetuskan ilham kepadanya untuk membuka sebuah kedai makan di tepi sungai.

Katanya, ramai pelanggan yang berasa teruja apabila berpeluang menikmati makanan di BBQ Lamb KL Kemensah.

Ini kerana, mereka bukan sahaja berpeluang menjamu selera hidangan barbeku pada tengah hari, malah berasa seronok apabila dapat mencelup kaki ke dasar sungai.

“Rata-rata pelanggan yang datang mahu makan di dalam sungai. Mereka ingin mencuba kelainan itu. Bagi ibu bapa yang membawa anak-anak pula, mereka seronok dapat main air di sini.

“Suasana seperti ini juga menjadi tarikan pelancong. Hampir setiap hari saya menerima kedatangan pelanggan dari luar negara, mereka berasa keadaan di sini unik,” ujarnya ketika di temui Kosmo! di restoran yang telah dibuka sejak setahun lalu.

Pada asalnya, kawasan itu merupakan sebuah resort untuk keluarganya berkumpul, namun ia telah diubah sejak Zainudin merancang membina sebuah perniagaan yang boleh menjamin masa hadapannya.

Tambahan pula, Zainudin memang gemar memasak terutamanya hidangan ala Barat, maka keputusannya menggabungkan seni masakan barbeku dalam suasana kampung ternyata satu pilihan yang tepat.

“Pelanggan hanya boleh makan di dalam sungai dari pukul 12 tengah hari sehingga 5.30 petang kerana cuaca sudah gelap dan menginjak ke senja. Selepas tempoh itu pelanggan boleh makan di dalam kedai yang dibuka sehingga pukul 10 malam,” jelas Zainudin.

Selain keistimewaan makan di dalam sungai yang boleh memuatkan 40 orang pada satu-satu masa, barisan menu yang menggunakan cara memasak serta ramuan istimewa turut menarik perhatian pengunjung.

Air percuma

Menu utama yang sering ditempah pelanggan adalah set hidangan untuk empat orang yang berharga RM120. Set itu mengandungi empat jenis daging iaitu ayam, lembu, kambing dan itik.

Turut dihidangkan bersama set itu ialah empat pinggan nasi berempah, sup, salad dan tiga jenis sos iaitu sos pudina, sos barbeku dan sos bawang putih. Air pula diberikan secara percuma dan boleh diisi semula tanpa had.

“Kambing adalah pilihan utama di sini. Ia akan diasap di dalam rumah asap ini antara lapan hingga 10 jam dengan api sederhana. Selepas itu, jika mendapat tempahan daripada pelanggan, kambing akan dipanaskan di atas arang seperti barbeku.

“Jadi pelanggan tidak akan menunggu lama untuk menikmati makanan masing-masing. Selalunya selama 10 hingga 15 minit sahaja,” terangnya sambil memberitahu, itik adalah salah satu menu yang wajib dicuba.

Selain set makanan tadi, terdapat juga set makanan laut berharga RM150 untuk empat orang. Set makanan vegitarian berharga RM30 seorang dan set hidangan berdua dengan harga RM80 untuk dua orang.

Tidak dilupakan, menu ala carte turut boleh didapati pada harga bermula dari RM10 hingga RM100 ke atas.