Penyertaan mereka dalam industri seni visual tanah air juga tidak mengecewakan selepas ramai yang memberanikan diri menyertai pelbagai pameran untuk mengetengahkan hasil karya mereka.

Malah, pelbagai pihak termasuk pemilik galeri seni turut menyambut baik kehadiran mereka dengan memberi ruang dan peluang kepada artis seni baharu. Salah satu program yang disediakan untuk golongan seni muda ialah New Comers #2 yang diperkenalkan oleh Balai Seni Negara Malaysia (BSNM).

Peluang

Program tersebut yang diadakan dengan kerjasama Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur itu merupakan kesinambungan daripada program New Comers #1 yang telah dianjurkan pada Disember 2016.

Pada pameran kali ini, New Comers #2 menonjolkan enam anak seni muda tempatan yang berbakat dan kreatif. Mereka ialah Abdul Fatah Ali, Mohammad Azizul Mohd. Nasir, Mohammad Haziq Syawal Mohd. Haris, Azizi Saad dan pasangan adik-beradik, Mohamad Faiz dan Mohamad Farhan Zainal Abidin.

Abdul Fatah, 26, ketika ditemui berkata, dia sangat teruja apabila diberi peluang untuk mengetengahkan karyanya menerusi pameran tersebut.

“Sebelum ini, memang saya pernah menyertai beberapa pameran di galeri seni sekitar Kuala Lumpur.

“Namun, pameran New Comers #2 ini berbeza kerana ia dianjurkan oleh BSNM sendiri yang merupakan peneraju utama seni visual tanah air,” katanya.

Lulusan Sarjana Seni Halus daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor itu mengetengahkan empat karya yang menggunakan medium cat dinding, akrilik dan arang.

Bagi Haziq Syawal, 24, dia mempamerkan lima karyanya dengan teknik kolaj.

Jelasnya, kesemua karya tersebut mengangkat tema zaman kanak-kanak dengan sebahagiannya adalah imbauan kehidupan kanak-kanaknya sendiri.

“Saya menggunakan teknik kolaj untuk menonjolkan pelbagai perkara dan peralatan yang berkait rapat dengan kehidupan kanak-kanak seperti selipar, alat permainan, watak kartun dan sebagainya,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda daripada UiTM Shah Alam, Selangor bidang seni halus itu.

Tidak seperti Abdul Fatah dan Haziq Syawal, Mohammad Azizul, 26, pula lebih selesa menggunakan watak burung hud hud sebagai watak utama dalam karyanya. Jelas beliau, karya tersebut merupakan gambaran semula lagu nyanyian artis terkenal, M. Nasir yang bertajuk Tanya Sama Itu Hud Hud yang dizahirkan dalam bentuk lukisan.

Berani

“Karya saya menceritakan tentang kisah burung hud hud yang sedang mencari tujuan sebenar kehidupannya.

“Sebab itulah, saya menggambarkan burung-burung yang terkurung di dalam satu ruang dan terbang ke sana ke sini untuk mencari hakikat kehidupannya.

“Ia sebenarnya adalah gambaran kepada kehidupan kita,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahli Lembaga, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Philip Wong Hon Keong ketika berucap pada majlis perasmian New Comers #2 berkata, pameran tersebut dianjurkan sebagai satu platform kepada golongan artis muda untuk mengetengahkan karya mereka kepada khalayak.

“Saya sangat bangga apabila semakin ramai artis seni visual tempatan mula menonjolkan diri dan berani menghasilkan karya-karya yang kreatif,” katanya.