Milo dan Nescafe antara produk Nestle yang menjadi kegemaran ramai.

Mula bertapak di Malaysia sejak tahun 1912, Nestle terus menghasilkan produk-produk makanan dan minuman halal.

Pengurus Operasi Halal Nestle, Sariffudin Mahmud berkata, Nestle Malaysia merupakan peneraju piawaian halal bagi kumpulan Nestle.

Tegasnya, Nestle merupakan syarikat makanan dan minuman pertama menerima pengiktirafan halal di Malaysia ketika kerajaan memperkenalkan pensijilan halal pada tahun 1994.

“Komitmen terhadap amalan halal telah membentuk Nestle Malaysia hari ini.

“Nestle Malaysia juga telah diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Halal bagi syarikat ini dan memberi panduan polisi, tunjuk ajar dan kemahiran mengenai halal kepada pasaran Nestle yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Sariffudin menjelaskan, penekanan tentang halal di Nestle bermula sejak tahun 1970-an.

Pada ketika itu wujud kesedaran dalam kalangan pegawai pengurusan yang beragama Islam tentang kesedaran dan kepentingan halal.

Nasihat

“Mereka yang memberi nasihat kepada pihak pengurusan bagaimana hendak menjalankan produser halal di Nestle.

“Pada tahun 1980-an satu jawatankuasa dalaman ditubuhkan dan mereka yang bertanggungjawab untuk memberi nasihat tentang ramuan dan tatacara dalam menghasilkan produk halal,” katanya.

Tambahnya, jawatankuasa tersebut amat penting kerana mereka yang mengawasi keperluan halal memandangkan pensijilan halal masih belum diperkenalkan di negara ini.

Jelasnya, apabila mendapat persijilan halal pada tahun 1994, ia telah membuka mata pihak ibu pejabat Nestle di Switzerland akan kepentingannya terhadap pengguna Islam.

Kini, sebanyak 150 kilang Nestle di negara-negara lain juga mendapatkan sijil halal dengan mengikuti standard halal yang dikeluarkan Nestle sendiri.

Dalam pada itu, Sariffudin menjelaskan, walaupun telah memiliki pensijilan halal, Nestle tetap dipantau oleh pihak berwajib dari semasa ke semasa.