Deretan baju batik tersusun rapi di bahagian hadapan kafe pula pasti mencuri perhatian pengunjung untuk mengambil kesempatan membeli sambil menjamu selera.

Kepelbagaian perincian kafe tersebut seiring dengan penawaran pelbagai jenis menu makanan yang disajikan.

Menurut pemilik kafe, Muhammad Syafiq Mohd. Roduan, 28, Nenda by Sarimah merujuk kepada neneknya (nenda) dan nama ibunya, Sarimah semasa memilih nama kafe berkonsepkan cita rasa Malaysia tersebut.

“Di Kuala Lumpur, agak sukar untuk mendapatkan menu-menu tradisi negeri dari serata negeri di Malaysia.

“Justeru, saya memilih untuk mengetengahkan menu-menu tersebut dan setakat ini Nenda by Sarimah telah menyajikan menu dari Pahang, Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Antara pilihan pelanggan ialah nasi lemak daun pisang, laksa Johor, mi rebus tulang, gulai tempoyak ikan patin Temerloh, masak lemak cili api daging salai, ayam atau ikan kembung serta ayam penyet.

Bagaimanapun menu istimewa Nenda by Sarimah yang sering mendapat tempat di hati pelanggan ialah gulai tempoyak ikan patin Temerloh.

Resipi asli yang diturunkan oleh neneknya kepada ibunya, Sarimah Mohamed, 54, telah meyakinkan pelanggan untuk mencuba menu tersebut.

“Setiap hari Ahad, sejumlah 25 ekor ikan patin segar akan dibawa dari Temerloh, Pahang dan stok tersebut untuk menyediakan hidangan itu sepanjang minggu.

“Istimewanya, sajian ini dimasak dengan resipi asli yang tidak menggunakan bawang. Ia juga menggunakan tempoyak yang beli khas dari Temerloh, Pahang” kongsi Sarimah.

Set gulai ikan patin tempoyak Temerloh yang dihidangkan bersama nasi putih, ulaman, sambal belacan, telur masin dan air sirap selasih percuma boleh dinikmati pelanggan pada harga RM14.90.

Pesanan

Mula beroperasi pada Januari 2016, kafe berkenaan kini dibuka pada setiap hari Isnin hingga Sabtu bermula pukul 11 hingga 1 pagi.

Kini, kafe tersebut turut mempelbagaikan menu termasuk makanan Barat, Thailand dan Indonesia.

Menariknya, menu-menu tersebut boleh dipesan pada bila-bila masa termasuk waktu tengah hari.

Pada hari Ahad pula, Nenda by Sarimah mengendalikan untuk acara tertentu yang ditempah khas oleh pelanggan seperti majlis perkahwinan, pertunangan, sambutan hari jadi atau majlis korporat.

Kafe yang terletak di lot hujung deretan kedai tersebut mampu memuatkan lebih kurang 800 jemputan.

Dalam pada itu, Muhammad Syafiq bercadang untuk membawa menu istimewa dari negeri-negeri lain bagi mengubat kerinduan warga kota dengan kampung halaman masing-masing.

 

INFO

Nenda by Sarimah
Alamat: BS-01, Glenview Business Centre melalui Jalan Kuari Cheras Baharu, 56100 Kuala Lumpur
Waktu operasi: 11 pagi hingga 1 pagi (Isnin hingga Sabtu)
Harga: Serendah RM3 hingga RM120
Telefon: 03-4288 1413
Instagram: nendabysarimah