Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bahagian Automatif Naza Corporation Holdings Sdn. Bhd. (Naza), Datuk Samson Anand George berkata, pelancaran SUV itu adalah sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-10 Naza Italia-Maserati.

“Sebagai menandakan pencapaian Naza Italia-Maserati selama satu dekad, maka sewajarnya 10 buah unit Levante Vulcano edisi terhad dibawa masuk ke Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran kereta itu di Naza Italia, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Naza, SM. Nasarudin Tan Sri Nasimuddin.

Katanya, hanya 150 buah Levante Vulcano edisi terhad dihasilkan di seluruh dunia dan kesemuanya dibina di kilang Ferrari di Maranello, Itali.

Model di Malaysia dilengkapkan dengan enjin twin-turbo V6 dengan 430 kuasa kuda serta kemasan eksklusif dan bahagian dalam dengan warna matte Grigio Lava serta logo Vulcano baharu dan perkataan One of 150.

Penampilan luaran dilengkapi dengan perincian pek Nerissimo iaitu lampu belakang; logo dan gril depan; tingkap berwarna hitam berkilat; pemegang pintu berwarna dan paip ekzos bergilap serta set roda Helios 53 sentimeter.

Mewah dan sporty

Selain itu, ia turut dilengkapi Sistem Bantuan Pemanduan Maju (ADAS) dengan fungsi yang lebih aktif seperti kawalan kenderaan bersepadu, amaran pelanggaran terhad, pengiktirafan tanda lalu lintas, kamera pandangan sekeliling, sistem pembantu lebuh raya dan bantuan titik buta aktif.

Bagi kemasan dalaman, Levante Vulcano dilengkapi kemewahan yang sporty. Kerusi kulit Pieno Hore yang berventilasi dan didatangkan dalam warna merah serta dilengkapi dengan pelarasan elektrik.

“Kami berbesar hati dengan bimbingan dan sokongan oleh para pelanggan setia.

“Kami akan terus menghasilkan pengalaman pemilikan dan gaya hidup mewah Maserati bagi para pelanggan menerusi perkongsian dan kecemerlangan untuk satu dekad lagi,” ujar Samson.

Levante Vulcano edisi terhad dijual di Malaysia bermula pada harga RM838,800 termasuk cukai dan duti tempatan. Harga termasuk perlindungan tiga tahun jaminan standard tanpa sekatan perbatuan dan program penyelenggaraan percuma untuk tiga tahun atau 100,000 kilometer (km) selain pakej Maserati Premium Service Plus selama tiga tahun atau 60,000km.

Dalam pada itu, Samson berkata, pihaknya sedang mengatur rancangan untuk meluaskan rangkaian syarikat ke Pulau Pinang bagi memenuhi permintaan para peminat Maserati di seluruh Semenanjung Malaysia.