Ia juga merupakan pegangan dan asas kepada semua mufti dan fuqaha dalam menentukan sesuatu fatwa ataupun hukum.

Menjadi satu kesalahan bagi seorang mufti atau pengkaji fikah jika mengeluarkan fatwa atau pandangan fikah tanpa menguasai ilmu usul fikah.

Sehubungan itu, Ustaz Fauwaz Fadzil Noor telah menulis buku bertajuk Kuasa Usul Fiqh yang menjelaskan mengenai perkara tersebut.

“Melalui pemerhatian yang dibuat, kelemahan fatwa atau pandangan fikahi berpunca daripada seseorang yang tidak menguasai ilmu fikah dengan sahih dan mendalam sehingga fatwanya menjadi syaz atau tidak menepati waqi’ yang berlaku disekelilingnya.

“Usul fikah ialah pintu kepada ilmu fatwa dan tarjih atau ijtihad. Ia juga medan yang sangat mencabar kerana berkaitan dengan hukum Allah yang berhajat kepada amanah serta kelayakan untuk menjadi rujukan orang ramai dalam mengeluarkan hukum-hakam,” jelas anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu.

Beliau yang juga merupakan ahli Persatuan Ulama Sedunia berkata, buku tersebut khas untuk mereka yang mahu mendalami bidang usul fikah.

Ceritanya, idea menghasilkan buku tersebut tercetus daripada pertanyaan orang ramai yang diajukan kepada beliau ketika menyampaikan ceramah-ceramah agama.

“Apabila masyarakat menunjukkan minat terhadap ilmu ini maka, ia memberi semangat dan kekuatan kepada saya untuk menulis buku tersebut khas untuk mereka yang ingin mempelajari usul fikah.

“Justeru, saya menggunakan bahasa yang mudah difahami walaupun ia sebenarnya sangat mencabar untuk menukar ayat akademik kepada bahasa biasa,” tutur graduan Universiti al-Azhar Mesir dalam bidang Syariah Islam itu.Tambahnya, beliau ingin mengikuti jejak langkah ulama-ulama terkemuka dunia yang menyalurkan ilmu mereka menerusi penulisan buku untuk dimanfaatkan kepada masyarakat.

Mudah difahami

Bagi melengkapkan buku tersebut, Fauwaz mengambil masa selama setahun terutamanya dalam membuat huraian daripada kitab al-Waraqat.

Walaupun kandungan buku Kuasa Usul Fiqh mudah difahami dan tidak terlalu berat tetapi isi padat serta mempunyai perbahasan yang menarik.

Buku setebal 124 muka surat itu merangkumi tiga bentuk iaitu persoalan, ringkasan dan ilmu takhrij.

Naskhah Kuasa Usul Fiqh yang merupakan hasil karya Fauwaz ke-25 itu dibahagikan kepada tiga bab utama iaitu Soal Jawab Usul Fiqh, Menguasai Ilmu Usul Fiqh dan Adaptasi Kitab al-Waraqat.

Ujarnya, matlamat daripada penghasilan buku tersebut adalah untuk menyebar luas ilmu tersebut kepada masyarakat agar mereka benar-benar jelas tentang usul fikah yang merupakan asas penting dalam menentukan sesuatu hukum dan fatwa itu.

“Dunia moden hari ini yang tanpa sempadan memberi cabaran besar kepada kehidupan umat Islam apatah lagi jika seseorang itu tidak mempunyai ilmu.

“Oleh itu, jika kita sudah jelas mengenai sesuatu perkara maka, tidak akan timbul kekeliruan,” ulasnya yang merupakan Konsultan Syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Fauwaz menyeru semua orang untuk mendapatkan buku Kuasa Usul Fiqh kerana ia sangat istimewa yang ditulis dalam bahasa mudah difahami dan perbahasan rendah.

Buku itu juga mempunyai isi kandungan yang ringkas dan padat serta diselitkan soal jawab usul fikah, cara-cara menguasai ilmu fikah dan penerangan isi kitab al-Waraqat.

Ia turut sesuai dijadikan daurah dan bacaan di dalam kuliah-kuliah serta majlis-majlis ilmu di surau.

Tidak ketinggalan boleh dijadikan hadiah kepada kenalan, rakan-rakan dan para pencinta ilmu usul fikah.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu sedang giat menyiapkan sebuku terbaharu yang mengandungi 400 muka surat dan bakal diterbitkan pada Mac ini.