Apabila mendapat tahu, Bumper Nostalgia Raya yang menghimpunkan karya terbaik dari tahun 1999 hingga 2002 diterbitkan semula, dia tidak melepaskan peluang mendapatkan sendiri naskhah tersebut pada sesi pertemuan kartunis bersama peminat baru-baru ini.

Selain air sirap dan juadah lebaran, naskhah humor tersebut ibarat ‘juadah wajib’ yang turut dihidangkan kepada rakan-rakan yang bertandang ke rumah keluarganya di Shah Alam, Selangor pada era 90-an dan 2002 sekali gus menjadi sebahagian daripada tradisi dan kemeriahan Aidilfitri ketika itu.

“Ada kawan yang tidak berkesempatan beli jadi mereka teruja jika berpeluang membacanya. Masing-masing ada kartunis kegemaran sendiri.

“Secara peribadi saya merasakan kisah yang diketengahkan begitu akrab dengan kehidupan. Suasana kemeriahan perayaan dalam kalangan masyarakat yang datang dari pelbagai latar belakang amat dekat di hati para pembaca,” ujarnya kepada K2 di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Bagi Kairi Khamis, 31, dia mula membaca majalah seumpama itu sejak berusia sembilan tahun yang dibeli abang-abangnya hampir setiap bulan.

“Apatah lagi jika ia edisi istimewa seperti bumper merdeka atau raya memang wajib cari di kedai untuk simpanan peribadi. Saya sendiri mempunyai ratusan koleksi majalah tersebut yang masih dijaga rapi sehingga kini.

“Sejak dahulu, pantang mendengar kartunis turun padang saya tidak akan melepaskan peluang bertemu mereka,” ujar anak bongsu daripada enam beradik itu.

Nostalgia

Seorang daripada kartunis terlibat, Gayour atau nama sebenarnya Mazli Ibrahim berpendapat, kemunculan kompilasi tersebut dapat mengembalikan nostalgia peminat majalah tersebut yang kebanyakan kini sudah berkeluarga dan berkerjaya.

Selain itu, ia juga boleh dijadikan kajian kepada generasi baharu yang terlibat dalam industri komik tempatan kerana ia 100 peratus dilukis secara manual dan tidak menggunakan peranti digital seperti sekarang.

“Ia melibatkan pelbagai stail lukisan yang menggambarkan cara rakyat menyambut Aidilfitri terutamanya pada era 80-an dan 90-an iaitu pada zaman tiada gajet.

“Saya teringat pada era kegemilangan majalah dan komik, di Hentian Puduraya yang kini dikenali Pudu Sentral, edisi bumper Aidilfitri menjadi peneman anak rantau dalam perjalanan pulang ke kampung halaman,” tuturnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan APT Invention (APT Invention ) Sdn. Bhd., Yusof Huzairy Md. Othman berkata, naskhah melibatkan karya lebih 40 kartunis itu diimbas terus daripada koleksi lama dan melalui proses penapisan dengan dirapikan semula dari aspek lukisan dan warnanya.

“Ia merupakan lukisan manual dan tidak disimpan secara digital seperti sekarang sementelah sistem cetakan dahulu menggunakan filem.

“Selain itu, untuk memberi nafas baharu, lukisan muka hadapan Bumper Nostalgia Raya dilukis secara manual oleh Lambok dan diwarnakan menggunakan cat air oleh kartunis Padi,” katanya menambah idea menerbitkan semula koleksi tersebut muncul agak lewat sekitar dua minggu sebelum Ramadan.

Hak cipta

Pengurus Jualan dan Operasi Apt Inventions, Azrul Izar menjelaskan, hak-hak cipta majalah Ujang & Apo? masih di bawah Moy Publications Sdn. Bhd. (Moy Publications).

Selepas syarikat tersebut memberhentikan operasi, pihak Apt Inventions yang membawa jenama Bekazon telah dilesenkan untuk menerbitkan semula semua karya-karya Moy Publications seperti Bersama Selamanya, Workshop dan Mat Despatch.

Bekazon yang merupakan pelopor bidang kartun dan komik Malaysia online mempunyai pelbagai platform komik seperti komik web, digital dan e-buku yang telah dibangunkan sejak tahun 2013.

Edisi khas bumper nostalgia raya boleh didapati di kedai-kedai buku serta pembelian secara online di bekazon.com pada harga RM19.90. Maklumat lanjut boleh layari www.bekazon.com.