Sekolah berkenaan melatih pakar dalam pembangunan infrastruktur Malaysia, Singapura, Sarawak, Borneo Utara dan Brunei melibatkan jabatan-jabatan seperti kereta api, ukur dan kerja raya.

Ia kemudian dinaik taraf kepada kolej pada 1941 dan mempunyai kampus baharu di Jalan Gurney yang kini dikenali sebagai Jalan Semarak.

Pada tahun 1971, kerajaan telah menaik taraf kolej berkenaan kepada status universiti dan melahirkan universiti teknikal pertama di Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Justeru, bagi mengabadikan kenangan indah semasa menuntut di TCKL, salah seorang alumni kolej berkenaan, Peter Ng Chau Chen telah mengambil inisiatif mengumpulkan artikel dan gambar-gambar berkaitan pusat pengajian terbabit.

Bagaimanapun, cita-citanya untuk menyiapkan buku tersebut tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia tahun lalu.

Hasrat tersebut kemudian berjaya dipenuhi oleh anak mendiang, Danny Ng yang mengambil keputusan untuk menyiapkan projek itu selepas dimaklumkan tentang usaha tersebut oleh rakan-rakan bapanya semasa upacara pengebumian Chau Chen.

“Beberapa orang rakan bapa datang bertemu dengan saya semasa majlis pengebumian dan bertanya sama ada mereka boleh mengakses beberapa fail milik mendiang.

“Saya pada asalnya tidak mengetahui tentang projek tersebut dan mengambil keputusan untuk meneruskan usaha mendiang,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada majlis pelancaran buku Remembering The Golden Era Technical College Kuala Lumpur 1940-1970 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Danny telah mendapatkan bantuan daripada rakan karib mendiang bapanya, Tai Chai Tiam, Siow Keng Cheng dan Young Pah Yin yang membentuk jawatankuasa editorial bagi melihat buah tangan Chau Chen menjadi kenyataan.

Naskah Remembering The Golden Era Technical College Kuala Lumpur 1940-1970 setebal 281 muka surat tersebut dibahagikan kepada dua bahagian.

Bahagian pertama buku berkenaan adalah koleksi kenangan, anekdot dan kisah-kisah daripada alumni termasuk penculikan berprofil tinggi dua bintang Hong Kong oleh pelajar kolej berkenaan.

Kongsi pengalaman

Bahagian kedua pula memperincikan sumbangan alumni terhadap pembangunan negara termasuk laporan mengenai pembinaan Stadium Merdeka dan projek-projek mega lain.

Buku berkenaan telah dilancarkan oleh alumni TCKL yang juga merupakan salah seorang pengasas IJM Corporation Bhd. dan Gamuda Bhd., Koon Yew Yin.

“Saya berbangga menjadi graduan TCKL. Jika tidak, saya tidak akan mencapai banyak pencapaian. Saya berusia hampir 86 tahun dan saya mahu berkongsi dengan pengalaman dalam hidup.

“Saya berasal daripada keluarga miskin yang mempunyai 12 orang anak. Bagaimanapun, saya beruntung menerima biasiswa daripada Jabatan Kerja Awam yang kini dikenali sebagai Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 1953 bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Sivil di TCKL.

“Saya berbangga menamatkan pelajaran pada 1957,” kongsi beliau.

Buku yang sarat dengan maklumat tersebut tidak dijual dan hanya diagihkan kepada alumni, Perpustakaan Negara, UTM dan beberapa universiti, kolej teknikal serta jabatan kerajaan.