Jika dahulu, kita perlu memandu beratus kilometer untuk mendapatkan hidangan enak dari negeri Kedah, kini penduduk di ibu kota boleh menikmati hidangan istimewa Restoran Nasi Langgaq di AU2 Taman Seri Keramat, Hulu Kelang, Kuala Lumpur.

Pemiliknya, Zulkefli Ali berkata, restoran tersebut menawarkan menu makanan bercita rasakan utara sepenuhnya.

“Bagi mereka yang teringin untuk menikmati makanan dari utara, restoran Nasi Langgaq adalah tempatnya.

“Di restoran ini, mereka boleh mendapatkan pelbagai jenis makanan bercitarasakan masakan utara seperti bihun sup, mi rebus, mi goreng, char kuetiau, cucur udang dan lain-lain lagi,” katanya.

Tambahnya, menu tersebut juga ada di negeri-negeri lain tapi apa yang membezakannya adalah resipi yang digunakan.

Misalnya, resipi bihun sup utara, rasanya mungkin sedikit berbeza dengan negeri-negeri lain.

Dalam pada itu, Zulkefli menjelaskan, antara menu yang sering mendapat sambutan pelanggan adalah bihun sup.

“Kami menggunakan resipi khas untuk menghasilkan bihun sup ini. Selain itu, bihunnya berwarna kuning dan disertakan sekali bersama sambal merah.

“Pelanggan boleh memilih untuk menikmati bihun sup ayam, daging, perut, urat dan lemak. Bihun sup ini ditawarkan pada harga bermula RM6.30,” katanya.

Selain itu, menu lain yang menjadi pilihan di restoran tersebut adalah cucur udang.

Cucur udang

Terdapat dua set cucur udang yang ditawarkan di situ dan harganya adalah RM6 untuk set biasa dan RM10 bagi set istimewa.

Bagi cucur udang istimewa, ia dihidangkan bersama udang, sotong dan ketam.

“Cucur udang ini juga sering menjadi pilihan pelanggan,” kata Zulkefli.

Sementara itu, menu utama pilihan pengunjung di restoran tersebut adalah nasi langgaq.

“Nasi langgaq yang kami tawarkan adalah berwarna kuning dan pengunjung boleh memilih untuk menikmatinya bersama lauk-pauk lain serta kuah campur.

“Lauk-pauk lain yang kami sediakan termasuklah sotong masak sambal, ikan bilis sambal garing, ayam goreng, telur ikan, sayur dan lain-lain lagi,” kata Zulkefli.

Tambahnya, harga untuk nasi langgaq itu bermula RM1.50 sepinggan sehingga RM25 bergantung kepada jenis lauk yang dipilih.

Dalam pada itu, Zulkefli menjelaskan, bahan-bahan mentah yang digunakan di restorannya juga segar dan berkualiti.

“Bagi saya, kualiti makanan itu penting dan menjadi faktor untuk pelanggan datang semula menikmati makanan di sini.

“Oleh itu, saya akan memastikan bahan-bahan mentah yang kami gunakan kesemuanya segar-segar belaka,” jelasnya.

Menu nasi langgaq ditawarkan setiap hari kecuali hari Jumaat dan mula dijual pada pukul 12.30 tengah hari manakala menu-menu lain dijual pada pukul 3 petang hingga 12 malam.