Mampu memuatkan lebih 200 orang pada satu-satu masa, restoran itu boleh dikatakan menjadi tumpuan orang ramai pada setiap kali waktu rehat tengah hari dan hujung minggu.

Mempertaruhkan nasi serai bersama set gril dan nasi beriani sebagai hidangan utama, Warung Mercik semestinya menjanjikan kepuasan kepada kedua-dua peminat masakan tersebut.

Dengan pelbagai seleksi lauk yang digril seperti ayam, daging, kambing, sotong, rusa serta yang sering menjadi pilihan iaitu lidah pasti membuatkan sesiapa sahaja yang melihatnya terliur.

Tambah menarik, setiap hidangan set gril tersebut turut disajikan bersama pencicah air asam yang diolah sendiri oleh pemiliknya.

Bukan setakat itu, set nasi berianinya pula turut disertakan dengan beberapa jenis lauk seperti ayam, kambing dan campuran.

Bagi mereka yang mahu menikmatinya secara beramai-ramai pula, boleh juga mencuba hidangan nasi beriani dulang yang boleh dimakan oleh 10 orang.

Kepuasan

Menurut pemilik Warung Mercik, Zulrushdi Ismail, setiap hidangan yang disajikan di restoran tersebut merupakan hasil resipi keluarga turun-temurun.

“Di Warung Mercik, perkara yang menjadi keutamaan kami ialah kepuasan pelanggan dalam menikmati hidangan disediakan. Misalnya bagi hidangan berlaukkan ayam, seekor ayam itu dipotong kepada empat sahaja.

“Sebuah perniagaan sememangnya memerlukan keuntungan namun kepuasan pelanggan tidak boleh dilupakan dan itulah yang menjadi kunci untuk perniagaan ini terus bertahan,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.

Tambah Zulrushdi, setiap tukang masak juga diberikan tunjuk ajar bagi memastikan semua hidangan yang disediakan mempunyai rasa yang sama.

“Setiap bahan masakan yang disediakan juga adalah sangat segar dan pemeriksaan dilakukan setiap hari bagi memastikan tiada bahan yang kekurangan.

“Tentang harga pula pengunjung tidak perlu risau kerana ia sangat berpatutan dan mampu dinikmati semua orang,” katanya.

Selain hidangan bakar dan beriani tersebut, Warung Mercik turut menawarkan set sup dan set penyet dengan harga yang sangat berpatutan.

Pada hari bekerja, Warung Mercik turut menyediakan hidangan nasi berlauk dan khusus untuk hari Jumaat, pengunjung boleh menikmati set bufet makanan laut.

Bagi yang tidak mahu makanan berat seperti nasi, pelanggan boleh mencuba set makanan Barat seperti kambing dan ayam gril serta bebola daging yang menyelerakan.

Turut menjadi pilihan pengunjung ialah set hidangan roti bakar bersama kacang pool atau telur goyang.