Restoran SiHAF di Shah Alam, Selangor mungkin boleh disenaraikan sebagai restoran pilihan jika anda bercadang menikmati pelbagai menu Asia Barat.

Lebih istimewa, suasana dan hiasan dalaman restoran SiHAF mengangkat budaya Islam dalam visi perniagaan mereka. Ia jelas dilihat pada sentuhan kontemporari di restoran tersebut.

Sosio budaya

SiHAF seperti yang disebutkan dalam al-Quran bermaksud pinggan emas.

Begitu juga logo restoran yang memberi penghormatan kepada konsep-konsep Islam. Keistimewaan restoran ini ialah ia menawarkan nasi beriani yang dimasak di dalam buluh.

Tekstur nasi yang lembut dan beraroma serta dihidangkan bersama lauk-pauk pasti membakar selera pengunjung. Pemilik restoran SiHAF, Mohammad AboZeed memberitahu, nasi beriani buluh merupakan hidangan istimewa yang disediakan di restoran kerana ia sedikit berbeza dengan restoran Arab lain.

“Kebanyakan restoran Arab hanya menyediakan nasi beriani Yemeni Zurbian yang begitu popular di Yemen dan Semenanjung Tanah Arab.

“Justeru, kami ingin membuat sedikit keunikan dengan mengambil kira sosiobudaya negara ini iaitu menggunakan buluh untuk memasak beriani,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Restoran Arab SiHAF, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Menurut Mohammad, nasi beriani buluh di restoran itu dimasak oleh cef-cef dari negara Arab.

“Hidangan ini dimasak sendiri cef dari Arab dan penyediaan mengambil tempoh dua jam. Kami memasak nasi beriani ini mengikut resipi di negara Arab yang menjadikannya sebagai kekuatan utama restoran kami,” katanya.

Hidangan nasi beriani buluh di restorannya sedikit berbeza dengan nasi beriani yang lain kerana ia dimasak secara kukus dan bakar.

“Restoran ini mengutamakan kepuasan pelanggan. Mereka bebas memilih untuk menikmati hidangan nasi beriani secara kukus atau bakar.

“Lauk seperti ayam, daging dan kambing juga dimasak sempurna menggunakan rempah ratus khas,” katanya.

Lebih istimewa, nasi itu hanya dimasak selepas mendapat tempahan pelanggan yang datang ke restoran tersebut.

Kesegaran

Restoran itu tidak menyajikan nasi yang sedia dimasak seperti kebanyakan restoran Arab lain bagi menjamin kesegarannya.

Mencungkil rahsia hidangan nasi beriani buluh, Mohammad berkata, pemilihan beras gred A dan rempah ratus khas dari Asia Barat digunakan untuk mendapatkan rasa asli nasi beriani.

“Selain itu, teknik memasak nasi beriani ini juga kena betul supaya ia berderai,” katanya.

Pelanggan boleh datang terus ke restoran itu tanpa membuat tempahan awal.

Selain nasi beriani buluh, restoran itu turut menawarkan menu sampingan seperti salad, hummus, lasagna, nasi Arab ayam serta kambing dan kebab.

“Alhamdulillah sehingga kini sambutan diterima amat menggalakkan dan kami merancang untuk membuka lima cawangan lain dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.