Perkataan itu sering ditujukan kepada individu yang menjadi kegilaan untuk mengambil gambar diri sendiri baik dengan gaya yang biasa mahupun sehingga menggunakan gaya-gaya yang luar biasa.

Apakah pandangan masyarakat tentang pengertian narsis itu tepat? Daripada mana sebenarnya asal perkataan narsis ini?

Narsis sebenarnya berasal daripada perkataan narsisisme (bahasa Inggeris) atau narsisme (bahasa Belanda) yang membawa maksud perasaan cinta terhadap diri sendiri yang berlebihan.

Orang yang mengalami gejala ini disebut narsisis.

Istilah narsis ini pertama kali digunakan oleh ahli psikologi, Sigmund Freud yang diambil daripada salah satu cerita mitos Yunani yang melibatkan seorang lelaki bernama Narcissus.

Mengapa Freud tertarik kepada istilah narsis daripada Narcissus ini? Narcissus ialah seorang lelaki yang sangat tampan. Pada suatu ketika, dia melihat bayang-bayang sendiri di atas permukaan air di sebuah kolam. Dia kagum dengan bayang-bayang sendiri dan berusaha menggapai bayang-bayang di atas permukaan air itu.

Narcissus tidak sengaja terjatuh lalu tenggelam di dalam kolam itu.

Narsisme sebenarnya melibatkan hal yang luas, tidak hanya meliputi berswafoto dengan pelbagai gaya tetapi membabitkan satu set pemikiran seperti merasa dirinya lebih unggul daripada orang lain, ingin selalu dianggap lebih hebat walaupun tidak berprestasi, memiliki sikap yang sombong dan merendahkan orang lain, obses dengan kecantikan dan kesempurnaan ke atas diri sendiri, suka iri hati terhadap orang lain serta melebih-lebihkan diri sendiri.

Bahaya

Narsisisme internet sebenarnya timbul seiring dengan perkembangan media sosial.

Hari ini narsisisme internet berkembang dengan pelbagai sebab.

Sebagai contoh, masyarakat ini adalah masyarakat yang bergantung kepada kepuasan segera. Di internet, ramai orang menulis status Facebook dan Twitter dengan harapan akan mendapat banyak komen yang positif.

Mereka juga berharap semua respons positif. Oleh itu, sesetengah orang ketagih mendapat perhatian daripada pengikut.

Untuk mendapatkan perhatian itu, mesej mereka perlu menarik, menyeronokkan dan dalam sesetengah kes sama sekali palsu atau berbohong.

Seseorang yang memiliki sifat narsisisme kelihatan seolah-olah mempunyai harga diri yang tinggi tetapi sebaliknya.

Jika diteliti secara mendalam, seseorang yang mula dihinggapi sifat narsisisme akan menampilkan rasa tidak puas hati di sebalik kelakuannya yang luar biasa.

Individu dalam dunia digital yang terperangkap dengan sifat narsisisme mahu individu lain cemburu tetapi sebenarnya dia cemburu dengan mudah terhadap keadaan orang lain pada hakikatnya.

Individu yang terperangkap dalam perangkap sifat narsisisme akan bersaing dan terancam oleh pencapaian orang lain.

Hubungan ini sering berpanjangan dan runtuh akhirnya dengan masalah dan kemudian meninggalkan jejak perasaan sakit seperti kemurungan.

Perasaan individu yang menghidap narsisisme mudah tidak stabil terutamanya yang sentiasa mengakses media sosial.

Bagaimanapun individu ini memilih untuk berselindung dan tidak menunjukkan kesakitan atau cenderung menunjukkan kemarahan berlebihan.

Selalunya kumpulan individu yang narsisisme tidak tahan untuk dikritik.

Bahayanya apabila kumpulan individu ini akan membuat alasan dan enggan menerima kelemahan serta kegagalannya.

Satu lagi sifat narsisisme yang mengancam masyarakat digital jika mereka tidak berhati-hati dengan keadaan ini adalah individu itu gagal menjadi pendengar yang baik dan mereka sering menyelar sesuatu isu tanpa berfikir panjang.

Berjalan sehala

Golongan narsisisme ini seperti orang yang berjalan sehala dan tidak akan memberikan peluang kepada orang lain untuk mengutarakan pandangan.

Sebenarnya, seseorang individu yang mampu mengawal emosinya boleh menjadi seorang narsisisme tetapi dalam waktu yang sama tidak menjejaskan kehidupannya dan orang lain.

Individu ini memerlukan mental yang kukuh untuk menghadapi keadaan itu.

Sebagai contoh, Bill Gates telah dirujuk sebagai seorang narsisisme tetapi setakat ini ia tidak mengganggu kehidupan sehariannya dan orang lain. Oleh itu ia tidak dirujuk sebagai gangguan mental.