Zainuar Hassan perlu memastikan segala keperluan harian asas keluarganya mencukupi dan tinggal di rumah yang selesa.

Selama ini, Zainuar menyara keluarganya hasil daripada bekerja sebagai seorang pegawai di sebuah syarikat binaan di Kuala Lumpur.

Dua tahun lalu, syarikat tempat Zainuar bekerja terpaksa ditutup disebabkan kekurangan projek ekoran daripada kelembapan ekonomi negara ketika itu.

Situasi ini mendorong lelaki berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu mencari pekerjaan lain bagi menampung perbelanjaan keluarganya.

Disebabkan usianya yang lanjut, dia memilih untuk memanfaatkan peluang sebagai usahawan minuman coklat, Milo.

Berbekalkan modal sebanyak RM1,690, dia membeli peralatan seperti payung, jag, bekas penyimpanan air dan meja.

“Hari ini beli barang keperluan berniaga, keesokannya saya sudah boleh mula berniaga. Perniagaan ini sangat mudah dan tidak memerlukan modal besar.

“Saya cuma perlu bancuh air Milo di rumah dan bawanya ke tempat berniaga di kawasan rumah saya di Ampang,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Bagi meraih keyakinan pelanggannya yang terdiri daripada penggemar sejati minuman Milo, dia telah menyertai program My Own Bisnes (Myowbu) pada tahun lalu.

Sehingga kini, seramai 250 orang usahawan telah menyertai Myowbu yang dianjurkan oleh Nestle (Malaysia) Bhd. (Nestle Malaysia).

Pengurus Pemasaran Jualan Nestle Malaysia, Karl Pereira berkata, program itu diadakan bagi menggalakkan usahawan minuman Milo mengembangkan perniagaan mereka.

Jelasnya, pihak Nestle sentiasa membantu memberi nasihat berkaitan penyediaan makanan dan menyediakan kelengkapan perniagaan.

Galakan usahawan

“Peserta Myowbu akan mendapat kemeja T, pelekat logo Milo dan khidmat nasihat bagi membantu usahawan meraih kepercayaan daripada para pelanggan.

“Menerusi program ini juga, kami juga memperkenalkan kepada usahawan tempat untuk mereka membeli serbuk Milo pada harga lebih murah,” terangnya.

Nestle merupakan satu-satunya syarikat di negara ini yang memberi galakkan kepada usahawan menggunakan jenamanya untuk melariskan jualan mereka.

Jelas Pereira, program yang bermula pada tahun lalu itu terbuka kepada semua usahawan perniagaan minuman Milo di seluruh negara.

Katanya, usahawan-usahawan yang menyertai program secara percuma itu dipilih sendiri oleh ejen-ejen Nestle.

Salah seorang peserta Myowbu, Amir Amili Khairi, 47, berkata, program Myowbu hadir tepat pada masanya buat para usahawan yang berniaga air minuman Milo.

Dia yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak memberitahu, sejak sekian lama, dia menggunakan jenama Milo tanpa mendapat kelulusan daripada pihak pengurusan.

“Program ini telah memberi keyakinan kepada saya untuk menggunakan jenama ini ketika berniaga. Sebelum ini, saya agak bimbang diambil tindakan kerana menggunakan jenama ini untuk berniaga,” katanya yang juga merupakan seorang kontraktor binaan.