Halal melangkaui segmen makanan dan minuman tetapi melibatkan pelbagai industri lain yang pesat berkembang termasuk farmaseutikal, logistik, kosmetik dan bahan mentah.

Pensijilan halal memberikan keyakinan kepada pengguna beragama Islam memenuhi hukum syarak, sementara bagi mereka yang bukan beragama Islam, produk dan perkhidmatan halal berkualiti dengan jaminan kebersihan serta keselamatan dalam segenap rantai pemprosesan.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, segala yang berkaitan industri halal perlu ditambah baik agar seiring dengan kepesatan perubahan dunia, baik dari aspek penawaran produk dan perkhidmatan, teknologi, gaya hidup mahupun standard, tanpa berkompromi terhadap aspek-aspek syarak.

“Industri halal sentiasa mempunyai cabaran tersendiri tetapi ia juga sentiasa berevolusi dengan kesedaran, penerimaan dan pemahaman masyarakat dunia berkaitan halal perlu sentiasa dipupuk.

“Sehubungan itu, adalah penting bagi badan-badan pensijilan halal terus meningkatkan pemahaman mengenai sistem dan piawaian terlibat demi perkembangannya, selain mengukuhkan dan menyatukan pemain industri berkaitan yang mahir untuk memenuhi keperluan semasa,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kompleks Islam Putrajaya baru-baru ini.

Justeru, Persidangan Halal Antarabangsa Malaysia (MyHA) 2018 yang dianjurkan Jakim pada 26 Mac hingga 3 April ini akan menghimpunkan penggiat industri halal peringkat tempatan dan antarabangsa dengan tujuan untuk memenuhi matlamat berkenaan. Persidangan yang akan diadakan di Hotel Le Meridien Putrajaya itu dijangka menjadi acara halal terbesar seumpamanya di rantau ASEAN dengan sasaran penglibatan kira-kira 900 peserta.

Buat masa ini, Jakim telah mengiktiraf 66 badan pensijilan halal luar negara yang merangkumi 42 buah negara di seluruh dunia termasuk Australia, Austria, Argentina, Bosnia and Herzegovina. Selain itu Singapura, Jepun, Kazakhstan, Kenya, Maldives dan Belanda. Tidak terkecuali Poland, Korea Selatan, Taiwan, Turki, Emiriyah Arab Bersatu, United Kingdom, Amerika Syarikat, Vietnam dan Mesir.

Modul

Bagaimanapun, atas faktor kapasiti dan kekangan tenaga mahir yang berkhidmat, badan diiktiraf ini perlu diperkasakan dari semasa ke semasa. Sirajuddin menegaskan, pensijilan halal Jakim sentiasa dijadikan contoh dan rujukan badan-badan dan industri berkaitan kerana piawaian tertinggi dan teratur serta memenuhi kriteria antarabangsa yang telah dibangunkan selama ini.

Sempena penganjuran MyHA 2018, empat program pengisian akan dianjurkan dalam acara selama lapan hari ini iaitu Majlis Halal Profesional (HPB) yang sulung, Program Pembangunan Kapasiti Halal Antarabangsa (IHCDP) ke-2, Konvensyen Badan-Badan Pensijilan Halal (HCBC) dan Perhimpunan Agung Autoriti Halal Antarabangsa (IHAB) kali pertama.

Menurut Sirajuddin, HPB merupakan salah satu inisiatif Jakim dalam usaha membangunkan kapasiti dan tenaga mahir halal di peringkat domestik dan antarabangsa.

“HPB telahpun menyiapkan dua modul iaitu Audit Halal Dalaman dan Eksekutif Halal yang dibangunkan dengan Kementerian Sumber Manusia demi manfaat peserta,” katanya sambil memaklumkan pihaknya turut bekerjasama dengan Konsortium Institusi Halal IPT Malaysia (KIHIM).

Tenaga pelatih yang akan mengendalikan program itu terdiri daripada kalangan pensyarah universiti-universiti tempatan dan tenaga pengajar yang berdaftar di bawah Majlis Profesional Halal.

Impak positif

Selain itu, IHCDP yang diperkenalkan pada Konvensyen Badan-Badan Pensijilan Halal ke-8 pada tahun lalu diteruskan pada MyHA 2018 dengan penyertaan terbuka kepada penggiat industri tempatan dan luar negara serta semua pemegang sijil halal Malaysia sedia ada atau pihak yang berminat untuk memohon pensijilan halal.

Sirajuddin menjelaskan, penganjuran program itu telah memberikan impak positif dalam memberikan kefahaman yang jelas mengenai keperluan pensijilan halal Malaysia sebagai penanda aras terbaik dunia.

“Pengisiannya merangkumi skim-skim dan standard pensijilan halal Malaysia yang digunapakai dan berkuat kuasa,” katanya sambil memberitahu sebanyak 400 peserta dijangka menyertai program berkenaan.

Ujarnya, Jakim dengan rakan strategik yang berkaitan promosi dan pembangunan kapasiti serta tenaga mahir, Dagang Halal Sdn. Bhd. (DH), akan bertanggungjawab melaksanakan kedua-dua program berkenaan.

Acara tetap tahunan, HCBC yang mengumpulkan badan-badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf juga akan diteruskan pada tahun ini yang merangkumi pembentangan kertas kerja.

Memasuki edisi ke-9, konvensyen ini adalah platform dalam mengukuhkan keupayaan badan pensijlan halal yang diiktiraf, selain menjadi medan perkongsian kepakaran dan membincangkan isu-isu semasa berkaitan halal.

Program yang akan diadakan 1 hingga 2 April dan dikendalikan sepenuhnya oleh Jakim itu disasarkan akan menarik 700 orang peserta.

IHAB buat julung-julung kalinya merupakan satu platform baharu yang berobjektifkan pengharmonian sistem dan standard halal yang pelbagai di dunia sungguhpun berlainan fahaman atau mazhab.

“IHAB yang terdiri daripada pihak-pihak kawal selia halal luar negara yang dijemput khas akan memfokuskan kepada pengukuhan dan pengiktirafan sesama negara anggota, malah ia akan bertindak sebagai fasilitator dalam mempromosikan persefahaman dalam kalangan negara anggota,” ujarnya.

Pengisian mesyuarat tersebut akan memfokuskan dalam mendapatkan persetujuan negara anggota bagi menubuhkan Sekretariat IHAB.

Ia juga dijangka membincangkan hala tuju dan kerangka serta terma rujukan IHAB.

Sirajuddin berkata, antara faedah yang akan diperoleh hasil daripada pelaksaan program-program berkenaan ialah pengiktirafan dunia terhadap Malaysia sebagai peneraju dan pusat rujukan halal global dan memperkukuhkan pertumbuhan industri halal.

Di Malaysia, sejarah pensijilan halal bermula pada tahun 1974, apabila Pusat Penyelidikan Bahagian Hal Ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan surat pengesahan halal kepada produk-produk yang memenuhi kehendak syarak.

Sejak itu, usaha-usaha pembangunan dan penambahbaikan proses, sistem, standard, prosedur dan pensijilan halal terus dilaksanakan oleh pihak berwajib sehingga tahun 1994 apabila pengesahan halal mula diberi dalam bentuk sijil pengesahan dan logo.

Pada tahun 1998, kerajaan Malaysia melantik Syarikat Ilham Daya untuk menjalankan pemeriksaan halal manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan sijil pengiktirafan halal, sementara pada 2008, pengurusan pensijilan halal negara disandang oleh HDC.

Bagaimanapun, tanggungjawab pengeluaran sijil halal secara rasmi diserahkan kembali kepada Jakim sejak tahun 2009 sehingga kini.