Uniknya di Sungai Lembing, Pahang, amalan gotong-royong menjadi kebiasaan sempena sambutan perayaan terutamanya menjelang Tahun Baru Cina.

Tidak terlepas tahun ini, masyarakat di kawasan itu bergotong-royong di rumah keluarga, Lee Yoon Fei, 54, bagi menyiapkan kuih kapit tradisi yang menjadi tradisi kaum Cina.

Menurut Yoon Fei, walaupun majoriti penduduk di Sungai Lembing adalah berketurunan Cina dan Melayu, mereka saling bantu-membantu ketika meraikan perayaan yang disambut kedua-dua kaum.

“Amalan membuat kuih kapit merupakan tradisi keluarga sejak 30 tahun lalu dan menjadi amalan turun-temurun sejak tiga generasi kami menetap di sini.

“Setiap tahun, ramai rakan-rakan berketurunan Melayu akan datang membantu kami sekeluarga menyiapkan kuih kapit meskipun berbeza agama.

Tempahan

“Ini kerana seluruh komuniti di sini umpama satu keluarga,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, selain menyiapkan kuih kapit untuk seisi keluarga, Yoon Fei turut mengambil tempahan yang hanya dibuka menjelang Tahun Baru Cina.

Kuih kapit tradisi keluarga Yoon Fei merupakan resipi turun-temurun daripada mendiang neneknya, Law See Moi sebelum diwariskan kepadanya sejak dia berusia 10 tahun.

Dia yang berpengalaman membuat kuih kapit sejak lebih empat dekad lalu kini meneruskan tradisi berkenaan bersama isteri, Tan Yuen Fong, 50 dan ibu mertuanya, Loke Ah Moy, 80.

Menurutnya lagi, dengan bantuan daripada rakan-rakan kaum Melayu, amalan tradisi itu menjadi lebih mudah.

Malah, dia tidak lokek berkongsi resipi kuih itu bersama rakan-rakan yang datang membantu.

“Kuih kapit ini dibuat dengan cara tradisional dan bahan-bahan utama seperti santan dihasilkan sendiri. Cara memasaknya dibakar menggunakan dapur arang supaya ia lebih tahan lama.

“Bagaimanapun, kerja-kerja itu menjadi lebih mudah dengan bantuan jiran tetangga dan rakan-rakan.

“Malah, ketika menjelang hari raya, kami sekeluarga akan datang membantu mereka membuat persiapan kuih mahupun juadah perayaan,” ujar anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu.

Sementara itu, salah seorang penduduk komuniti Melayu di Sungai Lembing, Muhammad Ridzal Sukimi, 42, memberitahu, dia tidak akan melepaskan peluang untuk membantu keluarga Yoon Fei menyiapkan kuih kapit pada setiap tahun.

Menurutnya, dia yang kembali menetap di kampung halamannya itu sejak lima tahun lalu amat bangga dengan masyarakat yang dilihat seperti sebuah keluarga.

“Keluarga Yoon Fei dan saya sangat akrab, kami saling bertukar-tukar resipi dan kerap bantu-membantu apabila tiba musim perayaan.

“Amalan gotong-royong ini adalah simbolik perpaduan di sini dan ia akan dikekalkan sehingga generasi akan datang, sekali gus menjadi keistimewaan bagi komuniti di Sungai Lembing,” katanya yang mampu menghasilkan kira-kira 100 botol kuih kapit setiap kali gotong-royong tersebut dijalankan.