Seramai 300 warga MSU terdiri daripada pelajar dan kakitangan terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

Projek berkenaan merupakan kesinambungan program MSU Environment Sustainability Project (MESP) yang menyaksikan pembukaan semula Gunung Nuang dengan ketinggian 1,493 meter yang terletak di Taman Eko Rimba, Hutan Lipur Hulu Langat.

Pendakian ke puncak gunung tersebut ditutup oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor sejak Januari 2018.

Menurut kenyataan akhbar MSU, program itu juga menjadi permulaan kepada MSU untuk melaksanakan aktiviti berfokuskan Cure, Care and Conserve untuk tempoh lima tahun.

Penanaman pokok

Katanya, aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan dalam tempoh tersebut adalah penanaman pelbagai spesies pokok, menaik taraf kemudahan awam, pembinaan penunjuk arah, pembangunan sistem pendaftaran dan komunikasi tanpa wayar (mobile wireless communication) untuk pendaki.

Ia turut melibatkan kerjasama antara MSU dan agensi kerajaan, rakan industri serta badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli ke program itu.

Baginda diiringi Presiden MSU, Prof. Mohd. Shukri Ab. Yajid dan Naib Canselor MSU, Prof. Junainah Abd. Hamid dan turut berkenan menanam pokok spesies tongkat ali (Eurycoma Longifolia) sebagai simbolik perasmian program MSU My Mountain Project.

Selain itu, Tengku Amir turut mencemar duli menanam pokok spesies resak daun panjang (Vatica Yeechongii) serta melepaskan ikan air tawar di Sungai Lolo bersama-sama warga MSU yang lain.

Aktiviti pendakian ke Kem Lolo sejauh 4.5 kilometer melalui denai hutan itu turut disertai lebih 300 warga MSU, kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan Briged Infantri Ke-11, Angkatan Tentera Malaysia.