Kesan daripada pergolakan itu menyaksikan rakyat Yemen sukar untuk mendapat bekalan asas yang sempurna terutamanya sumber air yang bersih.

Dalam membantu penduduk di negara itu mendapat bekalan air bersih, Malaysian Relief Agency (MRA) bersama rakan pelaksana badan bukan kerajaan tempatan, The Charitable Society For Social Welfare (CSSW) telah berjaya melaksanakan projek pam air melalui kuasa solar di Kawasan Al-Saeed, Golah dan Souq Al-Qadeem di wilayah Shabwah.

Presiden MRA, Dr. Mohd. Daud Sulaiman berkata, antara masalah besar di Yemen ketika ini ialah isu air.

Menurutnya, kebanyakan punca bekalan sumber air sebelum ini hancur akibat peperangan.

“Saya percaya bantuan air adalah perkara yang paling utama ketika ini yang diperlukan oleh penduduk.

“Projek ini telah memberikan manfaat kepada hampir 14,000 penduduk, beberapa buah sekolah dan masjid,” katanya yang mengetuai misi kemanusiaan MRA ke Yemen baru-baru ini.

Turut serta dalam misi itu, Pengarah Latihan dan Pembangunan MRA, Mohd. Rezaidi Ishak, Eksekutif Operasi Antarabangsa MRA, Mohd. Fadhil Baharudin dan Koordinator Projek Yemen MRA, Mohd. Lutfi Hafifi Japili.

Pada masa sama, wakil komuniti yang terdiri daripada ketua kabilah, pemimpin tempatan, guru dan imam turut diberi latihan mengenai proses perjalanan projek itu.

Mohd. Duad berkata, latihan itu diberikan supaya semua pihak dapat memanfaatkan dengan lebih berkualiti dan berintegriti melalui modul Pembangunan Komuntiti Ta’dib agar sumbangan itu dapat dimaksimumkan.

“Pembangunan Komuniti Ta’dib ini merupakan sebuah modul khas yang dibina MRA untuk mendidik penerima manfaat bantuan agar dapat memaksimumkan projek secara berintegriti dan mempunyai pelan masa hadapan,” jelasnya.

Misi

Dalam misi yang sama, MRA turut melaksanakan misi pam air berasaskan solar bagi fasa dua di Soq Al Qadeem, Shabwah.

Projek tersebut merupakan kesinambungan daripada kejayaan pam air solar di Golah sebelum ini.

Malah pelaksanaan projek berkenaan bakal menyalurkan air bersih kepada hampir 8,000 penduduk setempat termasuk empat buah masjid dan sebuah madrasah di kawasan itu.

Dalam perkembangan lain, krisis perang saudara dan kemanusiaan yang melanda Yemen begitu menyukarkan kebanyakan warga tempatan untuk mendapat bantuan perubatan khususnya di hospital kerajaan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, pada tahun 2017, sebanyak 274 hospital hancur dan rosak akibat peperangan. Ia sangat menyukarkan penduduk di negara itu untuk mendapat akses perubatan yang baik.

Disebabkan itu, MRA dan CSSW telah menganjurkan sebuah program pemeriksaan kesihatan khusus bagi pesakit jantung di Hospital Umum Ateq, Shabwah yang mempunyai data pesakit jantung yang cukup tinggi.

“Saya dimaklumkan pesakit yang mempunyai masalah jantung di Shabwah perlu melakukan pemeriksaan khusus jantung di luar wilayah seperti di Aden dan Mukalla sejauh 450 kilometer (km).

“Justeru, program ini dilihat penting kerana kebanyakan hospital di Yemen berada dalam keadaan daif dan memerlukan bantuan segera khususnya dalam kepakaran perubatan daripada pelbagai bidang,” tegasnya.

Peranan MRA dalam membantu penduduk Yemen bukan setakat di situ sahaja.

Sejak tahun 2015, MRA telah mengedarkan pek makanan asas khususnya di kawasan kem-kem pelarian di seluruh Yemen.

Antara sumbangan yang diberikan ialah tepung gandum, beras, minyak masak, garam, gula, kacang dan beberapa jenis makanan asas yang lain.

Sehubungan dengan itu MRA juga menyeru rakyat Malaysia yang prihatin terhadap penderitaan rakyat Yemen.Malaysian Relief Agency Foundation juga boleh menghubungi talian 03-9174 4672 untuk maklumat lanjut.