Isu ini bagaikan tiada berkesudahan sedangkan saban hari saudara kita dari Palestin terus dizalimi dan merempat di bumi sendiri.

Sehubungan itu, Ustaz Mohd. Hanif Ismail, 40, memperincikan lebih lanjut mengenai latar belakang Yahudi dan Palestin dalam bukunya yang bertajuk Sejarah Baitul Maqdis.

“Fokus buku ini ialah perjuangan rakyat Palestin dan latar belakang zionisme itu sendiri kerana zionisme bukan melibatkan orang Yahudi sahaja tetapi turut diikuti oleh penganut agama lain.

“Orang ramai perlu tahu asal-usul perkara ini dan mengapa Baitulmuqaddis itu sangat istimewa kepada tiga agama iaitu Islam, Yahudi serta Kristian.

“Dari segi geografinya, Baitulmuqaddis terletak di antara timur dan barat Palestin sehingga ia menjadi tumpuan dunia, malah menguasai kawasan ini seperti mengawal separuh daripada dunia,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar, Mesir itu.

Tambahnya, buku itu juga memberi maklumat mengenai sejarah Baitulmuqaddis sehingga awal abad ke-20.

Bermaharajalela

Sehingga kini, tanah yang dijanjikan Tuhan itu dianggap sebagai tiket Yahudi untuk melanyak orang-orang yang tidak berdosa di Palestin.

Bahkan Yahudi semakin bermaharajalela di tanah suci itu demi menuntut tanah yang kononnya milik mereka sejak dahulu kala.

Salah satu sebab Mohd. Hanif menulis buku seumpama itu ialah kerana kekurangan maklumat yang menerangkan secara terperinci mengenai perkara tersebut.

Oleh itu, buku tersebut wajar dimiliki dan dibaca kerana kita perlu tahu kenapa umat Islam di Palestin berjuang sehingga sanggup bergadai nyawa untuk menentang Israel.

“Umat Islam di seluruh dunia perlu memberikan sokongan kepada rakyat Palestin serta mendoakan kesejahteraan mereka.

“Musuh-musuh Islam tidak bersendirian kerana mereka meletakkan bangsa Yahudi sebagai penduduk di Palestin dan pemusnah umat Islam.

“Mereka (Israel) mendapat sokongan daripada musuh-musuh Islam ini dan negara haram itu disalurkan pelbagai dana serta senjata,” terangnya yang merupakan guru agama di Sekolah Agama Menengah Jeram, Kuala, Selangor.

Karya tulisan Mohd. Hanif itu mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan.

Jelasnya, dia mengambil masa yang panjang kerana perlu merujuk banyak sumber untuk memastikan maklumat itu sahih malah ia perlu diterjemahkan daripada bahasa Arab.

Dia turut mengumpul bahan rujukan sedikit demi sedikit termasuklah buku bacaan ketika belajar di Mesir.

Bercerita mengenai karya terbaharunya, Mohd. Hanif memberitahu, dia bakal mengeluarkan buku mengenai Syria yang mengulas mengenai keistimewaan bumi Syam iaitu Jordan, Palestin dan Syria.