Peniagawati telah memainkan peranan penting di dalam pemerkasaan usahawan wanita Bumiputera semenjak penubuhannya pada tahun 1980.

Antaranya termasuklah inisiatif pelbagai program keusahawanan, meluaskan pasaran dan jaringan niaga serta meningkatkan taraf hidup usahawan terutamanya wanita.

Sehingga kini, terdapat lebih 1,000 ahli yang berdaftar di bawahnya dengan pelbagai latar belakang perniagaan seperti fesyen, kosmetik, makanan dan minuman (F&B), gaya hidup dan perkhidmatan.

Ahlinya terdiri dalam kalangan mereka berumur antara 18 tahun sehingga 91 tahun.

Sempena menyambut usia 38 tahun sebagai persatuan usahawan wanita tertua di negara ini, Peniagawati mengumumkan pelancaran sebuah program menarik untuk pereka fesyen usahawan tempatan.

Himpunan usahawan

Program tersebut ialah Malaysia Fashion & Business Mission to New York yang akan dilaksanakan pada September 2018.

Presidennya Datuk Azlin Ahmad Shaharbi berkata, misi memperkenalkan fesyen dan produk ke kota New York itu adalah rentetan kepada kejayaan program sama pada tahun lalu.

Pada misi pertama yang berlangsung pada September 2017, Peniagawati telah berjaya menghimpunkan seramai 40 delegasi terdiri daripada usahawan pelbagai produk buatan Malaysia

Antara jenama tempatan yang terlibat termasuklah, Farmasi Colour Cosmetics, Nottingheels, Amax Mall, M. Eastern Collection dan Cempaka Travel Bug.

Jenama-jenama ini telah diberi pendedahan pada pasaran Amerika Syarikat dalam sesi padanan perniagaan yang turut dihadiri lebih 200 pembeli dan ahli perniagaan di sana.

Selain itu, misi ini juga telah berjaya membawa tiga orang pereka fesyen negara ke New York untuk beraksi di kota ikonik industri fesyen terkemuka dunia itu.

Tiga pereka fesyen yang telah beraksi di pentas Couture Fashion Week New York (CFWNY) ialah Erma Fatima atas jenama Mak Cun, Sara Jamaluddin (Sara J) dan Shah Rizal Irza Zulkiply (Eja Shahril).

Menggunakan konsep sama bagi misi 2018, Peniagawati berhasrat menambah lebih ramai delegasi terutama pereka fesyen.

“Kali ini, kita membuka ruang antara 12 hingga 15 pereka fesyen untuk mempamerkan produk kebanggaan mereka di pentas CFWNY.

“Ia dijadualkan berlangsung di pusat beli-belah Times Square di New York, Amerika Syarikat pada 7 September 2018,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar pelancaran Malaysia Fashion & Business Mission to New York 2018 di Menara Matrade, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selebihnya, Peniagawati ingin menguar-uarkan kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) untuk terlibat dalam misi kali ini seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara.

“Suka untuk kami maklumkan bahawa, program ini bukanlah untuk ahli Peniagawati semata-mata, tetapi terbuka untuk semua usahawan yang ingin menceburi bidang eksport.

“Ia juga tidak hanya terhad kepada wanita dan Bumiputera, malah seluruh rakyat Malaysia berbilang kaum yang mahu memajukan diri,” jelasnya ketika ditanya mengenai syarat untuk mengikuti misi tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Noraini Ahmad mengumumkan akan membantu Peniagawati dari segi pemberian geran pembangunan pasaran (MDG) kepada usahawan IKS yang layak.

Tampil

“Kerajaan sentiasa menggalakkan usahawan untuk lebih berani tampil ke hadapan mempromosi barang dagangan ke peringkat global.

“Justeru itu, melalui peruntukan hampir RM40 juta dari segi geran MDG, kami menyeru usahawan untuk membuat permohonan agar kami dapat membantu dari segi pembiayaan untuk ke misi ini,” ujarnya.

Tambah Noraini, misi Peniagawati membawa fesyen dan usahawan tempatan ke luar negara merupakan usaha yang patut disokong.

Ia bukan sekadar berbentuk jaringan kerjasama perniagaan ke pasaran luar, ia malah membantu mempromosi Malaysia ke persada dunia termasuk dari segi pelancongan.

Selain unik dengan pelbagai kaum, negara juga akan dikenali sebagai sebuah negara yang berdaya saing dari segi perniagaan dan produktiviti dagangan.

Dalam pada itu, Peniagawati mengalu-alukan sokongan daripada agensi, badan korporat dan individu yang berminat untuk menaja dari segi kewangan mahupun bantuan daripada bentuk lain.

Orang ramai yang ingin mendapatkan butiran lanjut mengenai misi tersebut, boleh menghubungi talian 018-2141 600 atau 012-2809 919.