Mior Ariffin pada awalnya menguruskan perniagaan milik keluarga iaitu Syarikat Roti Segar Malaysia Sdn. Bhd. sebagai pengarah.

Selepas kematian abang sulungnya, Mior Hamzah, perniagaan tersebut diserahkan sepenuhnya kepada anak-anak arwah.

Setelah itu, beliau membuka perniagaannya sendiri iaitu Syarikat Roti Segar Mekar Enterprise.

“Pada mulanya, syarikat berjalan dengan sangat baik dan waktu itu saya juga mengusahakan perniagaan pembuatan plastik bersama rakan kongsi.

“Pada tahun 1997 berlaku kegawatan ekonomi di Malaysia yang menyebabkan perniagaan pembuatan plastik mengalami kerugian RM3.7 juta.

“Lebih malang, rakan kongsi menghilangkan diri dan bebanan hutang itu saya tanggung seorang diri,” ceritanya ketika ditemui di kilangnya yang terletak di Batu 34, Jalan Taiping, Kuala Kangsar, Perak.

Bankrap

Sehubungan itu, syarikat pembuatan plastik tersebut terpaksa ditutup pada tahun 2004 dan beliau memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan Roti Segar Mekar Enterprise.

Bagaimanapun, beliau berdepan dugaan hebat apabila hampir diisytiharkan bankrap oleh pihak bank ekoran bebanan hutang daripada syarikat pembuatan plastik itu.

Lantas Mior Ariffin mengambil keputusan untuk membuat pinjaman wang segera sebanyak RM120,000 bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Setiap bulan beliau perlu membayar faedah pinjaman tersebut sebanyak RM11,500.

“Selepas itu, saya membuat pinjaman bank sebanyak RM250,000 dengan mencagarkan rumah bagi menyelesaikan kesemua baki wang kepada pemberi pinjaman wang segera tersebut.

“Syukur, baki wang pinjaman dengan pihak bank saya telah membeli tanah yang dibayar secara ansuran selama lima tahun untuk membangunkan kilang sendiri,” tuturnya sambil memberitahu ia merupakan kenangan paling manis apabila berjaya menyelesaikan hutang dan memiliki kilang sendiri.

Pada peringkat awal pembuatan produk Roti Segar Mekar Enterprise dibuat secara kecil-kecilan di rumah kedai yang merupakan cawangan pertamanya terletak di 76, Bandar Baru Uda, Kuala Kangsar.

Pada ketika itu, aras atas premis tersebut menjadi tempat operasi pembuatan produk manakala bahagian bawah pula dikhaskan untuk menjual.

Roti Segar Mekar Enterprise menghasilkan kira-kira 35 jenis produk yang terdiri daripada pelbagai roti, kek, biskut dan pastri.

Kesemua produk tersebut dijual sekitar Kuala Kangsar malah pelanggan juga boleh terus membeli di kilang ataupun cawangannya di Bandar Baru Uda.

Harga yang ditawarkan bermula 80 sen hingga RM5 bagi roti manakala kek pula bermula RM5 hingga RM50.

Istimewanya, syarikat itu hanya menjual produk-produk yang baharu dan segar.

Kafe

Pihaknya juga menerima tempahan kek untuk pelbagai acara seperti perkahwinan dan sambutan hari lahir.

Jelas Mior Ariffin yang berasal dari Teluk Kepayang, Bota, Perak, produk biskutnya juga dijual di seluruh Malaysia pada musim perayaan.

“Kami menjual kira-kira 30,000 hingga 50,0000 bekas biskut pada musim perayaan.

“Sesiapa berminat untuk menjadi ejen boleh terus menghubungi saya,” kata bapa kepada lima orang cahaya mata itu.

Syarikat Roti Segar Mekar Enterprise turut mempunyai kafe yang terletak di bahagian atas di kedai jualannya.

Kafe itu sering dijadikan sambutan pelbagai majlis seperti hari jadi atau meraikan rakan-rakan mahupun keluarga.

Mior Ariffin tidak berkesorangan menguruskan perniagaan itu apabila dua orang anaknya iaitu Mior Zulhaiqal, 24, dan Nur Husna, 28, masing-masing membantu menguruskan bahagian operasi dan perakaunan.

Pada masa akan datang beliau merancang untuk menambah lagi cawangan dan mengembangkan pengeluaran produk biskut lutut dan jari ekoran mendapat sambutan yang sangat baik.