Oleh itu, apabila berdepan masalah kulit wajah kusam, kering, mengelupas atau berjerawat, sedikit sebanyak ia boleh menjejaskan keyakinan diri seseorang.

Menyedari hakikat itu, syarikat pengeluar produk kecantikan dan kosmetik Bumiputera, Morgan Vera Empire tampil menawarkan penyelesaian masalah kulit yang dihadapi ramai pihak melalui penghasilan produk minyak kecantikan Morgan Vera.

Pengasasnya, Mohd. Ferdaus Razali, 26, berkata, minyak kecantikan Morgan Vera dihasilkan secara semula jadi daripada campuran minyak Astaxanthin, Argan dan madu lebah Manuka yang diimport dari New Zealand sekali gus berfungsi merawat pelbagai masalah kulit.

“Produk ini mula berada di pasaran sejak Mac lalu selepas lebih setahun menjalani proses penyelidikan dan pembangunan (R&D). Alhamdulillah, testimoni yang diterima daripada pelanggan sangat menggalakkan lantaran kesan positif selepas pemakaian produk ini dapat dilihat seawal tujuh hari.

“Malah, minyak kecantikan Morgan Vera juga sesuai dijadikan asas sebelum solekan terutama buat kaum wanita untuk memberi tona sekata pada kulit wajah mereka,” kata Mohd. Ferdaus ketika ditemui Aura Juita di Bangi, Selangor baru-baru ini.

Sehingga kini, produk tersebut telah berjaya dijual melebihi 10,000 unit sebulan dan jumlah itu dijangka terus meningkat berdasarkan keyakinan pengguna.

“Kami berharap produk Morgan Vera mampu setaraf dengan jenama luar negara dan dapat memberi manfaat kepada lebih ramai individu yang bermasalah dengan kulit wajah,” ujarnya.

Sementara itu, duta produk tersebut, Masliza Razali yang merupakan kakak sulung kepada Mohd. Ferdaus memberitahu, minyak kecantikan Morgan Vera berpotensi untuk dipasarkan ke negara jiran seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.

“Ini kerana produk itu dihasilkan secara semula jadi tanpa bahan kimia berbahaya. Malah, ia dikilangkan di kilang yang bertaraf Amalan Pengilangan Baik (GMP) serta memiliki sijil pengesahan dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Sebelum dilantik sebagai duta dan jurucakap produk, saya sebenarnya sangat cerewet dalam pemakaian sesuatu produk. Namun, selepas melihat hasil akhir produk Morgan Vera, ia mampu memberi kesan dengan cepat,” ujar ibu kepada tiga cahaya mata ini.

Minyak kecantikan Morgan Vera dijual pada harga RM90 sebotol dengan isi kandungan 30 mililiter.

Dalam pada itu, pengasas bersama Morgan Vera Empire, Akramin Firdaus Mokhtar, 30, berkata, pihaknya turut membuka peluang kepada usahawan baharu khususnya suri rumah, ibu tunggal pelajar atau mereka yang masih bekerja secara sambilan untuk menjana pendapatan bulanan dengan menjadi pengedar dan stokis produk Morgan Vera.

“Sekurang-kurangnya kami sasarkan 1,000 pengedar dan 30 stokis yang berdaftar untuk menjadi keluarga Morgan Vera dalam usaha mempromosikan produk ini ke seluruh negara,” katanya yang menyatakan Morgan Vera bakal mengeluarkan beberapa produk kosmetik seperti bedak asas di bawah jenama tersebut.