Produk sejuk beku di bawah jenama tersebut iaitu Dada Ayam Salai kini sudah boleh didapati di Malaysia apabila diperkenalkan oleh Selasih Journal Sdn. Bhd. (Selasih Journal).

Jenama restoran eksklusif Miami Grill milik penyanyi Pitbull yang berpusat di Miami, Florida, Amerika Syarikat sejak tahun 1980 itu sangat terkenal kerana keistimewaan rasanya yang berbeza dengan rangkaian restoran lain.

Pengarah Pemasaran Selasih Journal, Izatsham Othman berkata, produk tersebut didatangkan dalam sos chipotle dan original merupakan menu sulung syarikat itu.

“Produk ini boleh didapati di seluruh rangkaian peruncitan AEON Co. (M) Bhd. (AEON) di seluruh negara dan sejak pengenalannya di pasaran tempatan kira-kira tiga bulan lalu, ia menerima sambutan baik.

Sijil halal

“Produk ini mendapat sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan telah melepasi prosedur untuk dibawa masuk ke pasaran Jepun yang dijangka mulai tahun 2019,” katanya selepas majlis pelancaran produk berkenaan di Plaza Sen­tral, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Syarikat Selasih Journal yang mendapat hak francais di Malaysia menjadi satu-satunya pengeluar Dada Ayam Salai sejuk beku dengan sos chipotle berstatus halal.

Menurutnya, produk itu juga disasarkan untuk menembusi pasaran Jepun pada tahun hadapan menjelang penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ujarnya, mereka berbangga apabila diberi kepercayaan oleh Miami Grill yang berpangkalan di Amerika Syarikat bagi membekalkan produk sejuk beku berstatus halal di pasaran terpilih.

Menurut Izatsham, beberapa pihak juga telah menyatakan minat untuk membawa masuk produk berkenaan ke pasaran Filipina dan Singapura dalam tempoh terdekat.

Produk Dada Ayam Salai dengan sos chipotle dan original yang memiliki berat bersih 200 gram dijual pada harga antara RM14 hingga RM15 bagi setiap pek.