Justeru, tidak hairanlah setiap bulan pasti akan ada buku-buku baharu yang diterbitkan di pasaran.

Dengan kemunculan banyak syarikat penerbitan ini juga ia memberi ruang untuk penulis-penulis muda untuk menerbitkan hasil karya mereka.

Azrin Fauzi, 26, misalnya merupakan antara penulis muda yang berpeluang menerbitkan hasil karyanya.

“Dengan kemunculan banyak syarikat penerbitan ini ia memberi ruang kepada kami penulis-penulis muda untuk berkarya.

“Saya sendiri telah menerbitkan buku dengan dua syarikat penerbitan yang berbeza,” jelasnya.

Mula menulis secara serius sejak tahun 2013, Azrin kini telah menerbitkan dua naskhah yang berbeza.

Naskhah pertamanya ialah kumpulan cerpen yang bertajuk Urban diterbitkan pada tahun 2015.

“Sebelum menerbitkan naskhah pertama saya banyak berkolaborasi dengan penulis-penulis lain menghasilkan antalogi cerpen.

“Selain itu, saya juga menulis cerpen pendek yang kemudiannya disiarkan dalam majalah dan akhbar,” jelasnya.

Pada tahun 2015 syarikat penerbitan Fixi telah memberi peluang kepada Azrin untuk menerbitkan sebuah naskhah kumpulan cerpen yang ditulisnya sendiri.

Kejayaan

Dia berasa gembira setelah diberi peluang untuk menghasilkan sebuah naskhah kumpulan cerpen.

Baginya, dia lebih bebas untuk berkarya apabila diberi peluang menghasilkan sebuah naskhah kumpulan cerpen sendiri.

“Berbanding antalogi cerpen bersama penulis lain ruang untuk saya berkarya agak terhad. Namun apabila diberi ruang untuk menerbitkan sebuah buku cerpen tulisan sendiri ia memberi ruang yang besar untuk saya berkarya,” jelasnya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Kejayaan menerbitkan naskhah pertama ternyata memberi motivasi kepada Azrin untuk terus berkarya dan kini dia telah menghasilkan sebuah buku baharu berjudul Metaskandal.

Naskhah Metaskandal telah diterbitkan oleh syarikat penerbitan Roman.

Jelas Azrin, pada tahun 2016 secara tidak rasmi pemilik syarikat penerbitan itu telah mempelawanya untuk menerbitkan naskhah tulisannya.

Memandangkan kali terakhir Azrin menerbitkan buku kumpulan cerpen pada tahun 2015 dia merasakan sudah tiba masanya untuk mengeluarkan naskhah baharu.

“Setelah dipelawa saya kemudiannya mula menulis cerpen-cerpen untuk naskhah Metaskandal pada pertengahan 2016 dan siap pada awal 2017 sebelum diterbitkan,” jelas pelajar jurusan seni bina daripada Universiti Taylor itu.

Metaskandal mengandungi 18 kumpulan cerpen yang lebih kepada fiksyen.

Jelas Azrin, antara tajuk cerpen dalam naskhah itu yang memberi kepuasan kepadanya ialah Kalau Bukan Fuko, Siapa?

Bagi menyiapkan cerpen tajuk itu, dia mengambil inspirasi daripada penulisan ahli falsafah Perancis, Michel Foucault.

Selain itu, Kata David Kepada David antara tajuk menarik yang terdapat dalam naskhah tersebut.

Azrin menggunakan konsep perbualan dua orang David dalam bentuk dialog.

Menurut Azrin, antara cabaran yang dihadapi untuk menghasilkan naskhah Metaskandal ialah menjadikan ia lebih segar dan berbeza daripada buku pertamanya.

“Saya tidak mahu Metaskandal ini sama seperti buku cerpen yang pertama. Oleh itu saya perlu mencari satu kelainan agar ia kelihatan lebih segar dan mudah untuk pembaca memahaminya,” katanya.