Malah ia turut meliputi aspek kesucian bermula daripada aspek pengurusan, penyediaan sehinggalah ia tiba ke tangan pengguna.

Lantaran itu, Brahim’s SATS Food Services Sdn. Bhd. (BSFS) yang menawarkan perkhidmatan katering untuk lebih 30 syarikat penerbangan antarabangsa mempunyai kemudahan mesin sertu khas untuk mencuci pinggan mangkuk, kutleri dan pelbagai lagi peralatan bukan pakai buang berkaitan yang dimiliki klien mereka.

Antara syarikat penerbangan terlibat termasuk Malaysia Airlines, Turkish Airlines, Uzbekistan Airlines, Korean Air, Cathay Pacific, Eva Air, dan Japan Airlines.

Dalam hal ini, sertu adalah proses menyucikan sesuatu daripada najis mughalazah (najis berat) iaitu anjing, babi, dan keturunannya.

Barangan atau objek terlibat hendaklah disertu dengan basuhan sebanyak tujuh kali dan sekali air tanah.

Ia berbeza dengan samak yang bermaksud perbuatan menyucikan sesuatu daripada kulit binatang dengan menggunakan bahan kesat seperti pasir dan sebagainya.

Pengerusi Eksekutif Brahim’s Holdings, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, mesin sertu tersebut mampu mencuci sehingga 500,000 peralatan makanan setiap hari.

“Pada tahun 2013, Brahim’s telah melabur kira-kira RM7 juta untuk mendapatkan enam unit mesin pembersihan pelbagai guna dari Jerman dengan lima daripadanya diubah suai mengikut garis panduan yang telah ditetapkan bagi mesin sertu.

Inovasi

“Menurut garis panduan sertu oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) nisbah campuran air tanah harus melebihi 0.6 peratus hingga 2.5 peratus sebelum dicuci sebanyak enam kali dengan air mutlak,” katanya sempena lawatan media ke BSFS di Sepang, Selangor baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, penggunaan mesin cuci sertu pertama sudah diperkenalkan pada MAS Catering Sdn. Bhd. sejak tahun 1998.

Pada tahun 2011 diwujudkan pasukan inovasi dengan kerjasama Jakim.

Bagaimanapun, pada tahun 2014, barulah inovasi tersebut diluluskan Lembaga Pakar Syariah dan dilancarkan pada tahun berikutnya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu.

Pengarah Halal dan Keselamatan Makanan, Nur Izani Ibrahim berkata, bekalan tanah diperoleh daripada pengeluar yang sudah mendapat pengesahan halal Jakim.

“Mesin itu mampu mencuci sehingga 1,000 pinggan mangkuk dalam tempoh 15 hingga 20 minit.

“Air campuran tanah akan melalui satu nozel pancutan air khas sebelum dibilas dengan enam nozel mengandungi air biasa untuk syarat basuhan air mutlak,” jelasnya.

Selain itu, pekerja terlibat turut dibahagikan kepada dua bahagian mengikut warna baju berbeza iaitu bahagian pinggan mangkuk yang kotor dan bahagian yang siap dikeringkan.