Dia tetap merasakan kemeriahan bulan penuh bermakna itu di samping suaminya, Mohd. Noor Hafizan Ahmad Jais, 33, dengan dua anak kesayangan berusia enam dan dua tahun.

Nor Ilyana merupakan OKU penglihatan kategori B3 iaitu penglihatan terhad (rabun) pada kedua-dua belah mata manakala suaminya pula tergolong dalam kategori B2 iaitu buta.

Menurut Nor Ilyana, pada Aidilfitri lalu, dia bersama anak-anak pulang ke kampung suaminya di Johor Bharu, Johor dengan bas.

“Persiapan telah dilakukan lebih awal. Kami beli keperluan anak-anak seperti baju raya mereka sedikit demi sedikit. Tahun ini kami beraya dengan baju tema merah hati.

“Sambutan raya bersama keluarga suami agak meriah. Keluarga mentua menghidangkan burasak untuk dinikmati bersama asam pedas, malah tidak dilupakan lepat luih iaitu makanan tradisi masyarakat keturunan Bugis,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan buka puasa The Blind Iftar anjuran Pertubuhan Prihatin OKU 1Malaysia di Teh Tarik Place, Setapak Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Meriah

Tambahnya, kemeriahan menyambut raya di Johor juga dirasai apabila mereka berkunjung ke rumah saudara mara sehari suntuk kerana lokasi masing-masing terletak agar jauh.

Berbanding keluarganya yang berasal dari Melaka, mereka tidak mengambil masa yang lama untuk menziarahi sanak saudara kerana semuanya tinggal berhampiran.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Prihatin OKU 1Malaysia, Norule Asle berkata, acara berbuka puasa bersama OKU penglihatan itu adalah yang pertama kali diadakan. Sebelum ini majlis berbuka puasa diadakan di rumah-rumah kebajikan.

“Tujuan majlis berbuka puasa itu dianjurkan adalah untuk memberi kesedaran kepada orang awam tentang bagaimana OKU penglihatan ini menikmati juadah dalam keadaan pandangan yang terhad.

“Dengan adanya majlis seumpama ini, kita ingin mendidik serta memberi gambaran sebenar betapa kita perlu mensyukuri di atas segala nikmat yang telah diberikan Allah SWT,” terangnya. Pada majlis itu seramai 30 sukarelawan dan 20 OKU penglihatan diraikan.

Salah seorang sukarelawan, Muhammad Shah Bir berkata, walaupun baru sahaja menyertai Pertubuhan Prihatin OKU 1Malaysia pada 2017, dia tetap merasai hubungan keakraban bersama sukarelawan dan OKU lain kerana dia juga merupakan salah seorang daripadanya.

Muhammad Shah buta sebelah mata kirinya sejak lahir lagi namun apa yang menarik perhatian, oleh kerana buta sejak kecil, dia dan keluarganya tidak tahu akan hal tersebut sehingga usianya tujuh tahun.

“Semasa tadika, cikgu ada buat ujian penglihatan namun apabila saya memaklumkan perkara itu kepada ibu, ibu ingat saya hanya bergurau. Mungkin ketika itu saya masih kecil.

“Saya pun tidak menjadikan perkara itu satu masalah besar kerana mata sebelah kanan boleh melihat dengan jelas. Saya ingat memang pandangan manusia itu hanya boleh nampak sebelah sahaja,” ujarnya sambil tertawa.

Namun, apabila sudah memasuki darjah satu dan mereka juga terkejut bagaimana saya boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Selepas itu, saya diberikan surat untuk dirujuk kepada pakar.

Solat

“Pada ketika itu, baru saya dan keluarga sedar yang mata saya ini hanya ada bebola mata tetapi urat mata semua tiada,” ujarnya memiliki Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Dalam pada itu, melalui inisiatif yang dijalankan Pertubuhan Prihatin OKU 1Malaysia, Muhammad Shah berharap agar ada lebih ramai sukarelawan tampil dalam membantu mereka yang kurang berupaya.

Pada Ogos ini, Pertubuhan Prihatin OKU 1Malaysia akan mengadakan I Love Klinik Solat di Kelantan manakala pada Oktober depan di Johor Bharu.

I Love Klinik Solat adalah satu sesi pendekatan teori dan amali untuk mendekatkan golongan OKU dengan kewajipan solat.