Situasi itu menyebabkan Melaka kerap menjadi pilihan orang ramai termasuk pelancong dari luar negara untuk menjamu selera.

Salah satu menu pilihan pelanggan ialah masakan Peranakan Baba dan Nyonya.

Restoran Seri Nyonya Peranakan yang beroperasi di tingkat tiga Hotel Equatorial, Bandar Hilir merupakan salah sebuah premis yang menyajikan masakan asli masyarakat Peranakan Cina.

Masakan Peranakan Baba dan Nyonya mempunyai persamaan dengan Melayu daripada aspek rempah-ratus.

Restoran yang mengetengahkan dekorasi elemen Baba Nyonya itu memperkenalkan 18 menu baharu merangkumi hidangan pembuka selera, sup, hidangan utama dan pencuci mulut baru-baru ini.

Antara menu lazat yang disajikan ialah sup ketam berempah, kerabu jantung pisang, kerabu mangga, udang gerang asam dan ayam cili padi.

Turut diperkenalkan ialah hidangan Peranakan terkenal seperti ikan sambal tumis, bayam sambal belacan dan tofu.

Apa yang menariknya, tofu yang dihidangkan di restoran itu menggunakan resipi asli Nyonya berpengalaman yang diadun bersama bahan-bahan terpilih.

Teksturnya yang lembut masih dikekalkan biarpun digoreng dan dihidangkan bersama sos pedas sebagai pelengkap rasa.

Selain itu, salad udang, pie tee dengan udang, sambal belimbing acar nanas dan ayam panggang seri Nyonya merupakan sebahagian daripada masakan lazat hasil air tangan Nyonya. Ia adalah sebahagian daripada menu baharu di restoran itu.

Sesi pengenalan menu di restoran Seri Nyonya Peranakan itu turut diperkenalkan Nyonya cendol dan sago gula Melaka yang dihasil menggunakan gula perang buatan sendiri.

Pengurus Besar Hotel Equatorial Melaka, Datuk Syed A. Rahman Alkaff berkata, setiap menu di restoran Seri Nyonya Peranakan menggunakan bahan-bahan dan ramuan yang terbaik serta segar.

Dekorasi

“Ia diterjemahkan melalui hidangan berkualiti dan rasa yang kekal asli.

“Setiap hidangan yang segar melambangkan gabungan sayur-sayuran, ayam, makanan laut dan herba berkualiti untuk mengekalkan keaslian masakan itu.

“Ruang makan yang selesa dan dekorasi yang mempunyai pengaruh Baba Nyonya seperti siling kayu memberikan rasa seolah-olah sedang menikmati hidangan di dapur Nyonya, sekali gus membangkitkan selera serta mood pelanggan yang mahu menikmati keenakan makanan dalam suasana tenang dan menyenangkan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Melaka baru-baru ini.

Menurut Syed A. Rahman, pihaknya berharap setiap pelanggan yang menikmati hidangan Peranakan asli itu berpuas hati dan menjadikan restoran Seri Nyonya Peranakan sebagai salah satu destinasi makan kegemaran ketika berkunjung ke negeri Hang Tuah tersebut.

Seri Nyonya Peranakan yang mendapat sijil halal beroperasi setiap hari pada pukul 12 tengah hari hingga 2.30 petang bagi makan tengah hari dan 6.30 petang hingga 10.30 malam untuk makan malam.