Sushi Tei di bawah syarikat urusan ST-Taikem membawakan hidangan Poke Bowl yang segar dan menyihatkan.

Seleksi hidangan baharu tersebut dilancarkan sempena Tahun Baru Cina dan kekal sebagai menu di Sushi Tei mulai Februari ini.

Antara hidangan tersebut ialah Maguro Poke Bowl, Salmon Poke Bowl, Ebi Poke Bowl dan Chicken Teri Poke Bowl.

Ia merupakan hidangan menyihatkan yang diperbuat daripada seleksi ikan mentah, udang harimau, ayam panggang, sayur-sayuran, bijian dan kekacang, dihidangkan bersama nasi daripada beras perang Akita premium dari Jepun.

Kata Pengarah Urusan ST-Taikem, Cameron Cheah, Sushi Tei berpegang kepada kepercayaan untuk menyediakan hidangan yang segar dan menyihatkan untuk pelanggan mereka.

“Sejak pengenalan di Malaysia pada tahun 2009, Sushi Tei telah menjadi pilihan rakyat Malaysia yang mahu menikmati sajian Jepun segar dan lazat pada harga berpatutan.

“Bagi menjamin tahap kualiti hidangan, kami guna bahan-bahan segar Jepun dan tidak berkompromi soal keselamatan makanan.

“Ia merupakan satu komitmen yang digambarkan menerusi menu baharu kami yang kaya dengan kebaikan sayuran,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tiga pilihan sos

Bagi melengkapi rasa hidangan baharu itu, Sushi Tei menawarkan tiga pilihan sos iaitu sos bawang wafuu ala Jepun, wasabina dan epal.

Setiap satunya dihasilkan bagi menggunakan bahan segar dan memberikan kelainan yang menyelerakan kepada setiap mangkuk.

Selain sihat dan berkhasiat, ia memberikan tenaga sepanjang hari menerusi sajian yang kurang daripada 500 kalori untuk setiap hidangan.

Sementara itu, sajian vegetarian juga ditampilkan sebagai menu tambahan Sushi Tei.

Anda boleh menikmati susyi maki yang disediakan segar seperti Avocado Yasai Roll iaitu susyi avokado dan Inari Yasai Roll yang diperbuat daripada kulit tauhu.

Bagi individu yang mahukan sajian yang lebih mengenyangkan, mereka boleh memilih sajian utama seperti hidangan mi Namako Yasai yang disediakan dengan sup berasaskan kitano miso dan pilihan udon, soba atau ramen.

Ia juga dihiasi dengan timun laut vegetarian, cendawan butang, labu dan ubi keledek Jepun.

Sajian utama lain dalam menu vegetarian baharu ini termasuklah nasi goreng cendawan Kinoko Chahan dan pasta Nasu To Zulgini.

Nasu To Zulgini ialah pasta digoreng dan disajikan bersama terung, zukini dan telur separuh masak.

Pilihan lain yang boleh dinikmati termasuklah akar bunga teratai goreng, Renkon Agedashi yang rangup atau kroket ubi keledek, edamame dan labu.

“Sajian poke bowl dan vegetarian baharu Sushi Tei diperbuat daripada bahan-bahan yang halal untuk dinikmati seluruh masyarakat tempatan.

“Ia kini boleh didapati di semua rangkaian restoran Sushi Tei di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Ipoh, Perak,” tambahnya.

Layari Facebook Sushi Tei Malaysia untuk mengetahui maklumat lokasi dan promosi terkini.