Merupakan pemilik dan ketua cef La Bimba, sebuah restoran terkenal di Apollo Bay yang terletak di laluan Great Ocean Road, Earl yang berusia 36 tahun menerapkan nilai kelestarian alam itu dalam diri dan masakannya.

Memasak daripada apa yang ditanam segar di laman atau hasil laut di kawasan setempat menjadi aspirasinya sebagai penghargaan dan penghormatan buat alam.

Beberapa wartawan di ibu kota baru-baru ini berpeluang mengenali sosok lelaki berusia 36 tahun ini yang bercerita mengenai dirinya dan Great Ocean Road yang menyajikan hidupan-hidupan laut segar dan tanaman-tanaman yang boleh dijadikan ramuan masakan.

Destinasi ikonik

“Saya dibesarkan di ladang, bapa saya juga peladang dan datuk saya juga peladang, jadi ia sudah sebati secara semula jadi dalam diri saya,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur baru-baru ini dalam satu acara yang dianjurkan syarikat promosi pelancongan Victoria, Visit Victoria.

Kunjungannya berikutan pengumuman AirAsia yang akan memindahkan perkhidmatan penerbangan ke Melbourne, Australia dari Lapangan Terbang Tullamarine ke Lapangan Terbang Avalon pada Disember ini. Ia bakal memberi lebih peluang untuk penerokaan pelancongan ke destinasi ikonik Australia, Great Ocean Road yang menyajikan antara pemandangan perjalanan lebuh raya tepi pantai terindah di dunia.

Lapangan Terbang Avalon terletak paling hampir dengan Great Ocean Road. Ia terletak kurang dua jam dari lapangan terbang tersebut.

Great Ocean Road terletak di Victoria, sebuah negeri di tenggara Australia manakala Melbourne merupakan ibu negeri Victoria. Great Ocean Road meliputi laluan sepanjang 244 kilometer dari Torquay hingga Allansford.

Dalam kunjungan itu, Earl turut mempersembahkan cita rasa gastronomi daripada hidupan di Great Ocean Road terutama Apollo Bay antaranya abalone jade tiger bersama mentega rumpai laut, telur dadar udang krai (crayfish), kacang macadamia bakar selain pelbagai herba.

“La Bimba ialah tentang memastikan kitaran makanan itu sehampir-hampirnya dengan rumah kita dan membiarkan masakan itu sendiri menyatakan segalanya. Masakan yang kelihatan ringkas dan jujur dari hati sebenarnya bukanlah ringkas kerana ia melibatkan keringat dan air mata yang telah lama ditumpahkan (bertani dan menternak). Itulah yang menjadikan makanan ringkas itu luar biasa,” kata anak jati Victoria itu.

Inspirasi

Earl berkata, inspirasinya dalam masakan tercetus sewaktu kanak-kanak apabila mengagumi seorang bapa saudaranya yang mampu memasak kanggaru yang dilihat mati dilanggar kereta berhampiran rumahnya menjadi satu sajian yang hebat.

Apabila meningkat remaja, dia mengasah kemahirannya dalam bidang kulinari.

Earl memiliki dan mengusahakan La Bimba sejak 2007. Berpegang kepada konsep ‘ladang ke pinggan’ dalam masakannya, Earl bahkan pernah memiliki ladangnya sendiri seluas 45 hektar.

Dia menternak lembu Welsh Back dan kambing Suffolk serta menanam trufel iaitu sejenis cendawan yang biasa dijadikan coklat serta pelbagai sayur dan buah.

Bagaimanapun, sejak 2014, lantaran kesukarannya untuk mengendalikan restoran dan ladang secara serentak seorang diri menyebabkan dia terpaksa menjual ladangnya. Tetapi, aspirasinya kekal apabila dia semakin akrab dalam membentuk jaringan perhubungan makanan dengan petani-petani dan nelayan-nelayan setempat.

“Bayangkan, saya boleh dihubungi terus oleh nelayan yang mengirim teks mesej pada waktu pagi ketika mereka masih di laut untuk memberitahu saya hasil tangkapan mereka dan menjelang waktu tengah hari, hasil tangkapan itu akan ada di restoran untuk dimasak,” kata lelaki yang sudah berkahwin itu,

Ditanya mengenai kepentingan semua pihak menjaga kelestarian alam atau pembaziran sumber alam, Earl berkata: Saya fikir, ia perlu kerana sebagai manusia kita perlu melakukan suatu yang betul.

Saya fikir kita perlu meninggalkan dunia ini dalam keadaan yang lebih baik berbanding kita memasukinya.

“Pada masa ini, kebanyakan kita tidak melakukannya sedangkan jika semua orang mengurangkan impak pembaziran, moga-moga, alam sekitar akan jadi lebih baik dan demi anak-anak kita,” katanya.