Sebagai penyedia pelbagai hidangan premium, Tony Roma’s sudah semestinya menggunakan bahan-bahan masakan yang berkualiti sebagai satu cara untuk mengekalkan keaslian cita rasa Barat tanpa berkompromi terhadap isu halal yang menjadi satu keutamaan di negara ini.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-12 pada tahun ini, Grand Companions Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat pemegang francais bagi rangkaian restoran Tony Roma’s di negara ini telah mengambil langkah berani dengan menampilkan hidangan Barat berkonsepkan tempatan sebagai tanda penghargaan kepada pelanggannya.

Pengurus Pemasaran Kanannya, Salleharon Ahmad berkata, menu khas yang dihasilkan oleh barisan cef berpengalaman restoran berkenaan menampilkan hidangan yang dimasak menggunakan bahan-bahan yang dihasilkan oleh para petani tempatan.

“Kami berharap agar rakyat Malaysia yang menggemari hidangan Barat berkunjung ke restoran kami untuk mencuba hidangan khas yang dihasilkan bersempena ulang tahun ke-12 Tony Roma’s di negara ini.

“Diharapkan dengan adanya hidangan tersebut, ia akan menjadi satu peluang dan tanda aras baharu kepada rangkaian Tony Roma’s untuk memperkenalkan menu berkonsepkan cita rasa Malaysia ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Majlis memperkenalkan menu istimewa tersebut telah berlangsung di restoran Tony Roma’s di pusat beli-belah Sunway Piramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Nazipah Jamaludin.

Hidangan utama

Mengulas mengenai menu istimewa tersebut, Salleharon berkata, ia meliputi tiga hidangan utama selain tiga hidangan sampingan dan empat pilihan minuman unik.

Antara hidangan utama yang disediakan ialah stik daging lembu bahagian rusuk yang dihidangkan bersama sos cili hijau yang cair di dalam mulut ketika dikunyah.

Bagi penggemar daging kampung pula, anda boleh menikmati hidangan kambing panggang bersama sos nanas dan salsa yang penuh dengan rasa jus daging yang segar diperap bersama bahan dan rempah-ratus terpilih bagi membangkitkan rasa asli hidangan Barat.

Hidangan ketiga pula ialah ayam panggang barbeku yang dihidangkan bersama sos halia beraroma yang menggunakan halia berkualiti tinggi dari Bentong, Pahang.

Ketiga-tiga hidangan utama tersebut ditawarkan pada harga masing-masing RM85.90, RM89.90 dan RM39.90 bagi setiap set.

“Pelanggan juga boleh memilih untuk menikmati dua daripada tiga hidangan sampingan yang terdiri daripada kentang cili hijau, sayur bendi goreng tepung dan nasi halia beraroma yang disediakan secara percuma.

“Mereka juga boleh memilih untuk menikmati salah satu daripada empat minuman istimewa kami iaitu Strawberry Romarita, Wild Berry Romarita, Mango Romarita dan Classic Romarita yang dijual pada harga RM15 jika dibeli secara berasingan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Jenama, Tony Roma’s Malaysia, Irene Tiong pula berkata, pihaknya sentiasa memikirkan kaedah yang berkesan untuk membolehkan perniagaan restoran itu meninggalkan impak yang besar kepada pelanggannya.

Justeru kata beliau, idea memperkenalkan menu istimewa tersebut sangat berbaloi dan dilihat mampu memberi kelainan dalam menikmati hidangan Barat tetapi mengikut cita rasa tempatan.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita amat menggemari hidangan yang unik dan lazat.

“Namun, jika ia dihidangkan mengikut cita rasa kita sendiri, ia sudah semestinya suatu yang sangat bagus.

“Sebab itulah kami melaksanakan inisiatif ini sebagai tanda penghargaan kepada para pelanggan setia selain menghargai jasa dan penat lelah para petani kita,” katanya.

Promosi hidangan istimewa tersebut berlangsung sejak 1 Oktober lalu dan akan berakhir pada 30 November ini di semua cawangan Tony Roma’s seluruh negara.

Maklumat lanjut berhubung promosi tersebut boleh didapati dengan melayari laman web www.tonyromas.com.my.