Hampir semua orang akan melihat betapa anak-anak perlu lulus dengan cemerlang dan mendapat keputusan yang baik.

Sebab itulah, dalam budaya pemikiran kita, mereka yang hebat akan disandarkan dengan berapa jumlah A yang mereka peroleh semasa peperiksaan.

Hakikatnya, peperiksaan hanyalah salah satu daripada aspek kejayaan pelajar. Ia mungkin tidak relevan dalam kebanyakan keadaan.

Misalnya, seseorang pelajar itu berjaya dalam peperiksaannya tetapi tidak mampu berinteraksi dengan baik dalam persekitaran sosial yang lain. Mereka tetap dianggap sebagai tidak berjaya.

Dalam hal inilah, konsep emotional intelligent (EI) atau kecerdasan emosi muncul bagi mengukur sejauh mana manusia mampu untuk menguruskan emosi mereka dalam menghadapi situasi tertentu.

Dalam erti kata lain, cara seseorang boleh membaca persekitaran yang dihadapi dan mengubah emosi serta tingkah laku mereka mengikut kesesuaian keadaan.

Kita dapati, ada anak-anak yang hebat dalam pelajaran mereka. Sayangnya, mereka tidak mampu mengubah watak apabila menghadapi persekitaran yang berbeza.

Dua situasi

Dalam erti kata lain, seseorang yang mampu menakluk persekitaran mereka dan memainkan watak bersesuaian dengan keadaan yang dilalui.

Misalnya, mereka akan menggunakan emosi yang berlainan apabila bermain dengan rakan sebaya, sebaliknya menunjukkan ciri emosi yang berbeza ketika berinteraksi bersama orang dewasa.

Apabila bersendirian, mereka menunjukkan emosi tertentu. Sebaliknya, apabila berada dalam lingkungan orang ramai, mereka berinteraksi dengan cara lain.

Sebab itu, kita dapati kegagalan menguruskan EI ini menyebabkan ada anak-anak yang kelihatan tidak mampu mengubah watak mereka. Tatkala mereka mungkin bercakap kasar dengan rakan-rakan sepermainan, bahasa sama mungkin digunakan apabila berbual dengan orang dewasa. Hakikatnya, ia adalah dua situasi yang berbeza.

Ibu bapa wajar memberikan perhatian terhadap aspek EI ini. Kita perlu mengajar mereka cara menunjukkan reaksi emosi berbeza dalam persekitaran yang berlainan.

Ada perkataan yang tidak wajar diungkapkan apabila berada dalam kelompok manusia yang berbeza atau menunjukkan raut wajah tidak bersesuaian semasa keadaan tertentu.

Apabila bercakap dengan rakan sebaya, mereka mungkin boleh menggunakan perkataan ‘aku’.

Sebaliknya, tidak logik perkataan yang sama digunakan apabila berbual dengan orang dewasa. Begitu jugalah dalam mentafsir makna di sebalik perkataan yang disampaikan oleh seseorang.

Misalnya, ‘awak ini cantiklah’. Ayat seumpama ini apabila diungkapkan oleh seorang budak lelaki kepada seorang gadis kecil, mungkin mempunyai makna mengganggu.

Sebaliknya, apabila ia diungkapkan oleh seorang dewasa mungkin membawa makna untuk berjenaka. Bagaimanapun, apabila pelajar tidak mampu mengungkapkan reaksi emosi seperti ini, ia akan bertindak balas dengan cara sama dalam semua keadaan.

Misalnya, gadis tadi akan berkata kepada budak lelaki itu, “Awak seorang yang miang.”

Ia mungkin bersesuaian jika dilihat dalam konteks seumpama itu.

Konotasi

Sebaliknya, jika perkataan yang sama ditujukan kepada orang dewasa yang bertujuan untuk berjenaka, ia akan memberikan konotasi makna yang tidak sepadan.

Ini akan menyebabkan gadis tadi dilihat sangat kasar atau tidak mampu memahami maksud jenaka tersebut.

Walaupun EI ini tidaklah diukur dalam ujian sekolah, ia perlu dilatih oleh ibu bapa. Anak-anak perlu selalu diingatkan dengan cara mereka mengawal emosi dalam keadaan yang berlainan.

Ini kerana emosi akan ditafsirkan dengan cara yang berlainan dalam persekitaran berbeza.

Contohnya, seorang anak kecil yang menangis kerana gagal dalam peperiksaan tidak sepatutnya dinilai sama apabila anak kecil tadi menangis kerana gagal membeli mainan.

Walaupun corak menangis adalah sama, cara kita mentafsir emosi itu sangat berlainan. Begitulah juga dalam kehidupan seharian.

Anak-anak kita sebenarnya berada dalam persekitaran emosi yang berlainan setiap hari.

Mereka berada dalam persekitaran sekolah, rakan sebaya, kehidupan keluarga dan masyarakat. Mereka juga akan menghadapi manusia yang berlainan setiap hari. Jadi, dia perlu memainkan emosi yang bersesuaian dengan konteksnya.

Anak-anak akan dilihat sebagai lebih matang dalam mencorakkan kehidupannya. Sebaliknya, jika gagal dalam aspek EI ini, mereka mungkin akan bermasalah dalam menghadapi realiti sosial. Mereka mungkin akan diabaikan oleh rakan sebaya atau dianggap sebagai seseorang yang mempunyai masalah dalam masyarakat.

Menguruskan emosi mungkin dilihat mudah. Hakikatnya, ia tidak selalu benar dalam semua keadaan.