Ramalan mengenai tarikhnya sudah disebarkan meluas dalam media sosial. Sama ada tepat atau tidak, tarikh yang diramalkan adalah tidak penting kerana yang pasti ia akan diadakan pada tahun ini.

Apa yang lebih penting ialah membuat pilihan yang betul kerana ia akan menentukan masa depan negara.

Dasar, janji-janji dan rekod prestasi kelompok parti politik yang bertanding akan dinilai sebagai asas untuk membuat pemilihan.

Bagaimanapun tidak semua orang memiliki kearifan atau mendapat maklumat yang tepat untuk membuat pilihan yang betul.

Oleh itu, selidiki dan fikirkanlah dengan adil serta saksama segala maklumat yang dilihat, dengar dan baca agar tidak menyesal kemudian hari.

Contoh teladan

Memilih kerajaan sebenarnya adalah memilih pemimpin dan barisan kepimpinan yang akan mencorakkan dasar serta urus tadbir negara.

Bagi umat Islam yang merupakan pengundi majoriti, wajib melihat keperibadian Nabi Muhammad SAW sebagai contoh teladan kepimpinan kerana baginda adalah insan pilihan Allah untuk dicontohi oleh seluruh manusia.

Amat diketahui umum bahawa empat sifat utama yang baginda miliki ialah benar, amanah, tabligh dan bijaksana.

Baginda tidak pernah bercakap bohong sekalipun dalam bergurau senda. Apa yang baginda sampaikan hanyalah kebenaran sama ada berhubung kepentingan dunia atau akhirat.

Apa yang baginda sampaikan adalah sama dengan yang dilakukan. Dalam istilah bahasa mudah, baginda tidak pernah ‘bercakap tidak serupa bikin’.

Malah dalam urusan dunia yang mudah, terbukti sekarang apa yang baginda tuturkan lebih 1,400 tahun dahulu adalah benar.

Misalnya dalam soal makan dan minum, baginda menasihatkan supaya buah dimakan sebelum makanan utama yang mengenyangkan seperti nasi dan roti.

Baginda juga melarang makan dan minum sambil berdiri.

Pada hari ini, kajian perubatan mendapati bahawa dua perkara yang baginda utarakan itu adalah lebih baik untuk kesihatan.

Maka, dalam memilih pemimpin, hendaklah kita mengutamakan orang yang sentiasa bercakap benar dan melakukan perkara yang benar.

Begitu juga dalam soal amanah yang merupakan ciri kepimpinan yang sangat penting. Jika dipilih seorang yang tidak amanah menjadi pemimpin, lambat laun akan rosak atau binasa mereka yang dipimpin.

Orang yang melakukan perbuatan yang melanggar undang-undang, apatah lagi hukum Allah tidak layak diberikan amanah untuk menjadi pemimpin.

Orang yang tidak menunaikan janji juga tidak amanah. Orang yang menyalahgunakan apatah lagi mengambil hak orang lain juga tidak amanah. Orang yang melakukan rasuah juga sangat tidak amanah.

Tabligh pula bererti menyeru dan melakukan kebaikan serta kebenaran.

Rasulullah diutus untuk menyeru manusia supaya menyembah Allah dan melakukan kebaikan berdasarkan kebenaran yang diwahyukan kepada baginda.

Sesiapa yang hendak menjadi pemimpin bagi orang Islam mestilah mempunyai sifat tabligh. Bukan sahaja menyeru orang lain tetapi menjadi contoh ikutan dalam melaksanakan kebaikan dan kebenaran.

Kebijaksanaan pula adalah sifat yang perlu ada pada pemimpin kerana ia adalah kemahiran untuk menguruskan manusia serta kepentingan mereka.

Ia bukanlah sesuatu yang boleh ditimba daripada sekolah dan universiti tetapi merupakan kurniaan Allah.

Kisah yang sangat klasik mengenai kebijaksanaan Rasulullah ialah peristiwa baginda diminta memberikan pandangan untuk menyelesaikan kemelut antara empat puak kaum Quraish yang berbalah mengenai siapakah yang lebih layak untuk meletakkan batu Hajar Aswad pada Kaabah.

Pegangan

Baginda yang tidak tahu membaca dan menulis telah menasihatkan empat kaum yang bertelagah supaya memilih seorang wakil untuk mengangkat batu itu ke atas kain dan membawa bersama ke penjuru Kaabah.

Pandangan baginda lantas diterima sebulat suara.

Sifat benar, amanah, tabligh dan bijaksana inilah yang menjadi pegangan para sahabat serta khalifah-khalifah seterusnya untuk membolehkan Islam berkembang sehingga akhirnya tegak empayar besar yang menguasai dunia.

Sifat-sifat ini adalah ciri atau keahlian yang mesti ada pada para pemimpin sepanjang zaman. Apabila yang dipilih bukan lagi dalam kalangan yang ahli, tunggulah kerosakan atau bencana yang menimpa.

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (an-Nisa:58)

Demokrasi memberikan peluang kepada kita untuk memilih. Pilihlah yang tepat supaya tidak menyesal kelak.