Para guru juga dapat memanfaatkan medium itu sebagai alat bantu mengajar bagi mempelbagaikan bentuk pengajaran, sekali gus menjadikan momen pembelajaran di dalam kelas menyeronokkan.

Laman web Freeschool.my yang dilancarkan September lalu menghimpunkan 5,000 video pembelajaran mengikut silibus-silibus subjek di sekolah rendah dan menengah di Malaysia.

Bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) misalnya, ia menawarkan pembelajaran untuk 12 subjek antaranya Biologi, Kimia, Fizik, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan dan Ekonomi Asas.

Portal Freeschool.my dibangunkan oleh Edunation Sdn. Bhd., (Edunation) iaitu satu anak syarikat di bawah Brickfields Asia College (BAC).

Edunation sebenarnya telah menghasilkan video-video pembelajaran sejak tahun 2012 menggunakan platform YouTube dan kini ia pada peringkat memindahkan bahan-bahan itu ke dalam laman web itu secara berperingkat-peringkat.

Ketua Pegawai Operasi Freeschool.my, Jennifer Low berkata, laman web itu sudah boleh diakses oleh para pelajar dan guru. Sebanyak 4,000 pelajar telah memanfaatkan laman web itu sejak ia dilancarkan.

“Hasrat kami untuk menjadikan ia satu laman komprehensif yang menyediakan pembelajaran silibus-silibus subjek bagi murid Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan SPM selain untuk pembelajaran murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil serta Sijil Pendidikan Menengah Umum Antarabangsa (IGCSE).

“Buat masa ini, sukatan pelajaran SPM telah dimasukkan dan dijangka pada hujung tahun depan, laman web ini akan dapat disempurnakan dengan enam kategori pelajar tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! di BAC Kampus Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Jennifer berkata, laman web Freeschool.my dibangunkan oleh enam tenaga kerja manakala video-video disediakan oleh guru-guru sekolah atau pusat tuisyen.

“Setakat ini, kami telah bekerjasama dengan 50 orang guru. Kami memastikan guru-guru yang menghasilkan video adalah guru yang benar-benar memahami sukatan pelajaran, berpengalaman mengajar dan mahir dengan teknologi,” katanya.

Seminar

Menunjukkan keseriusan dalam membudayakan pembelajaran berasaskan laman web, tenaga kerja Freeschool.my juga mula pergi ke sekolah-sekolah untuk melatih para guru menggunakan laman web tersebut bagi tujuan pengajaran.

“Setakat ini, kami telah pergi ke lebih 20 sekolah rendah dan menengah terutamanya di sekolah-sekolah sekitar Pejabat Pendidikan Wilayah Sentul, Kuala Lumpur.

“Pada 25 hingga 26 November ini juga, kami akan mengadakan seminar untuk guru-guru berhubung penggunaan teknologi ini sempena KL EdTech di BAC, Petaling Jaya,” katanya.

Tambahnya, berikutan permintaan murid-murid, pihaknya juga kini mengeluarkan buku-buku berasaskan e-book atau nota-nota pembelajaran di dalam laman web itu.

Sementara itu, seorang jurulatih teknologi pembelajaran Freeschool.my, Nurakalili Mohd. Amin berkata, para guru yang dilatih begitu teruja dan terbuka untuk mengikuti latihan yang dianjurkan.

“Kita percaya, jika sebarang perubahan hendak dilakukan, ia seharusnya bermula dengan guru. Apabila guru terbuka untuk mempraktikkannya, maka anak-anak murid juga akan merasai pengalaman itu.

“Alhamdulillah, reaksi yang kami terima daripada para guru adalah baik. Mereka juga ingin mencuba menerapkan teknologi dalam pengajaran kerana ia dapat meningkatkan minat para pelajar di dalam kelas,” katanya.

Nurakalili berkata, pengajaran dan pembelajaran seperti itu bersesuaian dengan keperluan pada zaman ini iaitu teknologi perlu dimanfaatkan.

“Kita kini sudah berada pada abad ke-21 dan memang Kementerian Pendidikan mahu menekankan supaya guru-guru menggunakan teknik pembelajaran abad ke-21 di sekolah-sekolah,” katanya.

Sementara itu, seorang guru yang terlibat dalam pembikinan video, Christina Tay, 38, berkata, pengalaman itu memberi peluang kepadanya menjadi guru kepada seramai mungkin pelajar berbanding di sekolah.

“Apa yang paling sukar untuk mengajar dalam bentuk video ialah saya tidak bersemuka dengan pelajar seperti di sekolah. Jadi, saya perlu membayangkan ada pelajar di depan saya,” katanya.

Kepada sekolah-sekolah yang ingin menjemput Freeschool.my untuk mengadakan latihan, sila hubungi mereka menerusi e-mel [email protected] bagi tindakan lanjut.