Ia bagi mendapatkan implikasi yang lebih positif, seiring dengan kemajuan dalam kehidupan seharian kita.

Antara perkara penting yang perlu diberikan penekanan ialah penyebaran atau perkongsian cerita, berita, video grafik dan gambar sesuatu isu menerusi media sosial.

Istilah viral atau tular merupakan satu kesan ledakan maklumat tanpa sempadan dan perkembangan teknologi komunikasi yang diminati ramai pada abad ini.

Ledakan teknologi maklumat dan media baharu pada masa ini boleh dikatakan sudah menjadi trend serta gaya hidup moden yang perlu diterima.

Ia sukar untuk ditolak tetapi perlu diurus dan ditangani dengan baik kerana kemajuan telefon bimbit serta jaringan rangkaian komunikasi yang berlaku sekarang bukan sahaja melibatkan kawasan bandar tetapi mencakupi kawasan luar bandar.

Secara umumnya, kadar penembusan jalur lebar negara akan mencapai angka kira-kira 84 peratus menjelang tahun 2020, sekali gus memudahkan masyarakat bandar atau luar bandar mengakses internet termasuk bertukar maklumat mengenai sesuatu isu, kejadian bencana, kemalangan, kebakaran dan berkongsi gambar 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.

Kemajuan seperti ini seharusnya berkembang seiring dengan sikap rasa bertanggungjawab individu dalam memikul amanah setiap kali mahu memuat turun maklumat untuk dikongsi dalam media sosial.

Kesahihan sesuatu berita atau maklumat itu perlu disahkan kerana ia boleh menjadi tular jika ada pihak tertentu yang mempunyai niat jahat serta cenderung membuat fitnah mahupun rekaan semata-mata.

Ketidakadilan

Apabila sikap bertanggungjawab dan beretika gagal dibentuk dalam kalangan masyarakat yang menggunakan media baharu, maka ketidakadilan akan berlaku kepada individu yang menjadi mangsa keadaan.

Penyebaran maklumat awal yang belum tentu kepastiannya lebih mempengaruhi pembaca. Walaupun disebarkan maklumat terkemudian atau ralat yang bertujuan untuk menjernihkan situasi, ia tetap tidak dapat membetulkan persepsi masyarakat umum terhadap seseorang.

Individu yang terlibat dengan penyebaran berita yang tidak tepat dan memanipulasi media baharu sering kali mempunyai agenda tersendiri sehingga ia boleh mengganggu ketenteraman awam dan mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat.

Perkara sedemikian agak sukar untuk dibendung sekiranya kesedaran dan pendidikan masyarakat tidak diurus dengan baik seiring kemajuan dalam media baharu serta mendapat perhatian semua pihak untuk menanganinya.

Masyarakat sentiasa diingatkan, penyebaran berita melalui media sosial terutamanya perkongsian menerusi laman blog, Facebook, Twitter, Instagram atau aplikasi lain memudahkan sesuatu perkara itu menjadi sangat popular serta diketahui dengan pantas oleh setiap individu.

Ia akan diakses penduduk di seluruh dunia dan ini akan menyebabkan sesuatu perkara yang tidak sahih itu mendatangkan implikasi yang amat buruk.

Walaupun kesan ledakan maklumat, faktor globalisasi, tular merupakan sebahagian daripada asam garam kehidupan masyarakat pada abad ke-21.

Maka, menjadi tanggungjawab masyarakat untuk memastikan aplikasi dalam media sosial terus relevan sebagai penyalur maklumat yang positif dan mendatangkan manfaat dalam kehidupan.

Boikot

Usaha memboikot penggunaan teknologi dalam media sosial bukanlah satu jalan yang baik untuk menangani isu penyalahgunaan penyebaran maklumat atau fitnah sebaliknya bergantung kepada kematangan fikiran rakyat mahupun netizen bagi menentukan buruk dan baik serta hala tuju media baharu itu.

Kebergantungan semua lapisan masyarakat terutamanya golongan muda terhadap media sosial semata-mata tanpa menyemak terlebih dahulu menyebabkan mereka begitu mudah termakan dakyah palsu yang menjadi tular, sekali gus memberikan ruang yang luas kepada perlakuan jenayah media baharu.

Dalam keadaan ini, masyarakat perlu belajar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, berintegriti dan amanah untuk mengelak daripada berlaku salah faham kepada maklumat atau bahan yang dikongsi sehingga mengakibatkan pencerobohan hak peribadi seseorang mahupun terpaksa menggadai keamanan serta perpaduan sedia ada.