Dalam budaya masyarakat kita dan kebanyakan masyarakat dunia yang lain, umumnya manusia hanya dilahirkan dengan dua jantina utama iaitu lelaki dan perempuan kecuali mereka yang secara semula jadi dilahirkan sebagai khunsa.

Justeru, mereka yang secara tiba-tiba ingin menukar jantinanya kepada jantina yang bertentangan dengan jantina asal tentulah menjadi topik perbualan.

Di Samao misalnya, kelompok lelaki yang berperawakan wanita diterima secara normal dalam masyarakat itu.

Dalam masyarakat tradisional Navajo di Amerika Syarikat pula, terdapat klasifikasi empat jantina utama yang merangkumi lelaki, perempuan, lelaki yang berwatak wanita dan wanita yang berwatak lelaki.

Terdapat juga pengiktirafan terhadap kelainan jantina ini dalam beberapa masyarakat lain di India, Bangladesh dan Albania mengikut beberapa prosedur tertentu.

Bagaimana pula dengan masyarakat kita?

Tentulah ia hal yang bukan mudah untuk masyarakat menerima kehadiran jantina ‘ketiga’ atau ‘keempat’ ini. Ia berbalik kepada isu pokok masyarakat kita yang berpegang kepada hukum hakam agama.

Sekiranya kita menerima kehadiran jantina yang baharu ini, bermakna kita juga perlu menerima hal yang lain juga termasuklah isu homoseksual dan lesbian. Ia pasti akan menyulitkan hal nikah kahwin dan pembahagian harta.

Bagaimana sekiranya seseorang itu yang asalnya lelaki, kemudian bertukar menjadi wanita. Maka, adakah mereka boleh berkahwin dengan lelaki sejati atau hanya boleh berkahwin dengan wanita yang telah berubah menjadi lelaki?

Disebabkan begitu kompleksnya hal seperti ini, maka tentulah kita tidak wajar mempromosikan kewujudan jantina ketiga dan keempat ini.

Menjadi masalah besar ialah apabila mereka yang berubah watak jantina ini adakalanya merasakan tindakan yang mereka lakukan betul dan memenuhi cita rasa jantina mereka, lantas mempromosikan kelainan jantina ini dalam pelbagai media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan masyarakat.

Faktor biologikal

Isu kecelaruan jantina ini adakalanya dapat diperhatikan sejak seseorang individu itu masih kanak-kanak lagi. Seseorang itu mungkin dilahirkan dengan fizikal sebagai lelaki atau perempuan tetapi disebabkan faktor biologikal, mereka mungkin mempunyai cita rasa yang berbeza dengan jantina asal mereka.

Mereka yang dilahirkan sebagai lelaki adakalanya memilih bermain dengan permainan kanak-kanak perempuan, memilih warna yang agak feminin dan lebih cenderung untuk berkawan dengan kanak-kanak perempuan.

Begitu juga yang berlaku kepada kanak-kanak perempuan. Mereka adakalanya dilihat ‘terlebih lelaki’ apabila mula menyukai permainan lasak, memakai pakaian seperti kanak-kanak lelaki dan sebagainya.

Bagaimanapun, dengan memilih permainan atau aktiviti tertentu ini tidaklah bermakna mereka telah berubah menjadi jantina yang lain.

Sekiranya cita rasa ini diperteguhkan dengan ibu bapa sekadar melihatnya sebagai sifat anak-anak, ia mungkin akan menimbulkan masalah pada masa hadapan.

Kecenderungan terhadap norma umum jantina ini akan menyebabkan mereka disisihkan oleh kelompok jantina mereka sendiri.

Malah, dalam kes yang teruk, mereka akan digelar dengan pelbagai label yang jelik sehingga menyebabkan mereka berasa tersisih.

Pada akhirnya, mereka akan mencari individu yang mempunyai sifat yang sama dan boleh berkongsi masalah dan cita rasa serupa.

Ahli masyarakat sewajarnya tidak melayan mereka dengan ‘cara yang lain’.

Misalnya, sekali pun seseorang itu ialah lelaki tetapi bersuara lembut atau mempunyai watak yang sedikit kewanitaan, mereka tidak seharusnya dilihat sebagai orang yang lain. Begitu juga dengan perempuan yang mungkin membawa watak seperti lelaki.

Layanlah mereka sesuai dengan jantina asal mereka. Jika tidak, kita hanya akan menjadikan mereka berasa seolah-olah tidak diterima oleh masyarakat dan akhirnya memilih untuk bertukar menjadi jantina yang lain atau jantina yang ketiga mahupun keempat.

Sebagai manusia, kita boleh melakonkan watak yang kita idamkan tetapi pada akhirnya siapa kita ditentukan oleh identiti sebenar semasa dilahirkan.

Semua manusia pada akhirnya diduga dengan kelebihan dan kekurangan. Melarikan diri tidak pernah menutup kekurangan kita dan memberikan kelebihan yang baharu.

Walaupun dalam hidup ini kita boleh memilih untuk menjadi sesiapa sahaja, ada perkara yang kita tidak diberikan pilihan.

Sebagai mana kita tidak mampu memilih siapa yang patut menjadi ibu yang melahirkan kita, kita juga tidak layak memilih untuk menjadi lelaki atau wanita. Ia telah tertulis dalam takdir hidup manusia.

Sekiranya berasakan sangat sukar untuk berubah, maka janganlah dicetuskan kontroversi atau mempromosikan jantina ‘baharu’ yang dimiliki.

Anggaplah ia pilihan paling sukar yang tidak wajar dilakukan oleh orang lain, sekalipun mereka mempunyai cita rasa yang sama dengan diri kita sendiri.