Pengusaha dobi layan diri, Superpapa, Nabilah Najat Rosli, 29, berkata, tujuan utama dia menyediakan perkhidmatan tersebut adalah untuk membuka mata masyarakat terutamanya golongan berumur 40 tahun ke atas tentang kelebihan menggunakan dobi layan diri.

Beroperasi sejak 12 Ogos 2017 di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, Selangor, kedai dobi layan diri miliknya dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, remaja, dewasa dan tidak kurang golongan warga emas tidak mengira kaum dan agama.

“Bagi sesetengah golongan, mereka sudah biasa menggunakan mesin basuh atau pengering ini, tetapi golongan berusia lewat 40-an, ramai yang masih tertanya-tanya cara penggunaannya.

“Bagaimanapun, kami sudah menerapkan budaya saling membantu di dobi ini dan para pelanggan boleh bertanya pelanggan lain tentang cara penggunaan mesin yang mesra pengguna ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Bandar Baru Bangi baru-baru ini.

Tambah Nabilah Najat atau mesra disapa Bella, kedai dobi layan diri berkembang kerana banyak faktor seperti kekangan masa, ibu bapa sibuk bekerja, pasangan mempunyai anak ramai, tiada mesin basuh atau rosak dan musim hujan.

“Di dobi Superpapa ini, kami menawarkan perkhidmatan mencuci pakaian sepantas 24 minit.

Percuma

“Selain itu, pengguna tidak perlu risau tentang sabun pencuci dan pelembut kerana ia diberikan secara percuma dengan kaedah pengepaman automatik ke dalam mesin basuh.

“Sabun yang disediakan pula adalah berkualiti dan tanpa bahan kimia. Sebab itulah, buih sabun akan dilihat kurang tetapi tahap kebersihannya diyakini. Haruman yang segar dan nyaman akan dapat dihidu selepas tamat cucian,” ujarnya yang berasal dari Muar, Johor.

Sementara itu, bagi Mohd. Saiful Sadi, 35, yang juga suami kepada Bella memberitahu, nama Superpapa dipilih kerana dia ingin menggalakkan kaum Adam menggunakan perkhidmatan dobi layan diri, secara tidak langsung dapat mengurangkan kerja isteri dan ibu di rumah.

“Superpapa diterima baik dan positif oleh masyarakat setempat dan para pelajar terutamanya dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Bangi kerana faktor kebersihan yang sangat dititikberatkan setiap hari di sini.

“Saya juga menyeru bagi mereka yang belum mencuba perkhidmatan dobi layan diri Superpapa, bolehlah singgah dan mencuci pakaian di sini. Anda akan merasai persekitaran mengagumkan dengan konsep kedai dobi yang santai dan hiasan mural tokoh-tokoh hebat untuk tatapan pelanggan,” ujarnya.

Operasi

Beroperasi 24 jam, Superpapa turut dilengkapi Wi-Fi percuma untuk para pelanggan sementara menunggu pakaian siap dicuci dan kering. Selain itu, terdapat juga sistem keselamatan seperti televisyen litar tertutup.

Harga cucian di Superpapa ialah serendah RM6 untuk mesin basuh 14 kilogram (kg) dan pengering 14kg pula berharga RM4 sekali guna. Masa yang diperlukan pula hanyalah sejam untuk pakaian menjadi harum dan bersih.

Tidak hanya servis dobi layan diri, Superpapa juga mewujudkan perkhidmatan ambil dan hantar pakaian bagi berat minimum 10kg di sekitar kawasan Bangi.

Untuk maklumat lanjut dan promosi yang ditawarkan di Superpapa, sila layari Facebook, Superpapa Laundry atau hubungi talian 018-251 5600.