Dalam Perang Uhud pada 1393 tahun lalu itu, seramai 70 pejuang Islam mati syahid.

“Dari sini kita boleh nampak kawasan berpagar yang menempatkan kubur para syuhada termasuk bapa saudara Nabi Muhammad SAW iaitu Saidina Hamzah Abdul Mutalib,” kata Mohd. Hazril, petugas teknologi maklumat di Maktab Rendah Sains Mara Kubang Pasu, Kedah.

Bukit Uhud terletak lima kilometer ke utara kota Madinah dengan ketinggian sekitar 1,077 meter. Tidak seperti bukit lain di Madinah, Bukit Uhud tidak bersambung dengan banjaran gunung-gunung yang lain. Sebab itulah penduduk Madinah menggelarnya Uhud, bermaksud tersendiri.

Selain mengerjakan umrah, ujar Mohd. Hazril, kunjungan ke bumi penuh barakah Mekah dan Madinah akan mendekatkan mereka sekeluarga terutamanya Danish yang masih kecil dengan sejarah getir perjuangan Rasulullah dan para sahabat dalam mempertahankan Islam.

Danish merupakan peserta termuda daripada kumpulan pertama seramai 43 jemaah umrah Malaysia kendalian TH Travel & Services (TH Travel) bagi musim 1440 Hijrah. Mereka berlepas ke Tanah Suci pada 16 Oktober lalu. Kumpulan daripada pakej Delima itu berada di Madinah selama tiga hari manakala baki tujuh hari lagi di Mekah.

Madinah kota yang sangat tenang. Bagi mereka yang pernah menunaikan haji atau umrah pasti merindui untuk menjejakkan kaki semula ke Tanah Suci ini khususnya Masjid Nabawi, masjid kedua terbesar di dunia selepas Masjidilharam di Mekah. Di dalamnya terdapat makam Nabi Muhammad dan dua sahabatnya iaitu Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab.

Seorang jemaah, Mohd. Faizulnizar Abdul Hamid, 41, menyifatkan Madinah sebagai bandar yang menyentuh jiwa dan menyuburkan perasaan cinta terhadap Allah dan Rasulullah.

“Bacaan surah oleh Imam Masjid Nabawi sungguh sedap didengar dan menambah khusyuk dalam solat,” kata peniaga dari Alor Setar, Kedah itu.

Mohd. Faizulnizar berkata, pengalaman dapat menghantar jenazah sehingga ke liang lahad di perkuburan Baqi’ pada hari pertama tiba di Madinah adalah pengalamannya yang paling manis.

Sejak dahulu lagi, penduduk Madinah yang meninggal dunia disemadikan di perkuburan ini di samping makam lebih 10,000 sahabat dan ahli keluarga Rasulullah. Di Madinah dan Mekah, solat jenazah diadakan setiap kali selepas solat fardu.

Sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini juga akan berusaha untuk solat dan berdoa di Raudah iaitu satu sudut kecil di antara mimbar dan makam Rasulullah yang dihampar karpet berwarna hijau.

Kemasyhuran Raudah secara tidak langsung telah melariskan jualan sejadah dengan corak dan warna yang sama dengan karpet yang terhampar di dalam Raudah. Ada juga sejadah berwarna merah yang coraknya sama dengan karpet di ruang lain di Masjid Nabawi. Kedua-dua sejadah ini dijual sekitar 120 riyal (RM130), bergantung kepada syarikat pengeluar.

Ziarah luar di Madinah turut meliputi Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh dan kebun tamar. Di Mekah pula tempat yang dilawati ialah Jabal Rahmah di Padang Arafah, Mina dan Muzdalifah. Jemaah juga mengunjungi Masjid Jaranah dan Masjid Hudaibiyah untuk miqat bagi umrah kedua dan ketiga.

Pakej umrah TH Travel membolehkan jemaah menunaikan umrah sebanyak tiga kali. Sebahagian jemaah mengambil peluang mengerjakan umrah untuk ibu bapa yang telah meninggal dunia kerana umrah hanya wajib dilakukan sekali seumur hidup.

Ibu bapa

Salah seorangnya ialah Imam Masjid Batu Balai di Kuala Krai, Kelantan, Madrisan Mamat, 52.

“Ibu bapa perlu sentiasa ada di hati anak-anak. Kita harus berbakti kepada kedua-duanya walaupun mereka sudah tiada,” katanya yang mengerjakan umrah buat ibunya yang meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Jika ingin mengerjakan umrah serta berkemampuan, lebih baik dibuat pada usia muda kerana ibadah itu memerlukan kekuatan fizikal.

“Ada ketikanya jemaah perlu berjalan kaki sehingga 10 kilometer sehari berulang-alik dari hotel ke Masjidilharam untuk solat lima waktu, tawaf dan sai,” kata seorang jemaah wanita, Anis Safura Anuar, 27.

Pegawai Pentadbiran dan Kewangan Pusat Zakat Negeri Sembilan di Seremban itu yang aktif dalam aktiviti sukan lasak sempat mendaki Gunung Stong di Kelantan, dua minggu sebelum berlepas menunaikan umrah bagi mengekalkan stamina.

Semasa di Mekah para jemaah menginap di hotel yang terletak 650 meter dari Masjidilharam manakala di Madinah, jarak hotel dengan Masjid Nabawi ialah 150 meter.

Terdapat tiga cara untuk bertawaf tujuh pusingan mengelilingi kaabah dan bersai di antara Bukit Safa dan Marwah iaitu dengan berjalan kaki, menggunakan kerusi roda dan menunggang skuter.

Perkhidmatan skuter boleh didapati di tingkat tiga Masjidilharam dengan bayaran 50 riyal. Kelajuan maksimum skuter satu dan dua tempat duduk tersebut ialah 10.5 kilometer sejam.

Program lawatan di Mekah cuma melibatkan beberapa tempat utama. Selebihnya adalah masa untuk beriktikaf di Masjidilharam kerana pahala beribadah di masjid terbesar umat Islam yang menempatkan Kaabah itu digandakan 100,000 kali.

Guru Sekolah Vokasional Tanah Merah, Kelantan, Abdul Rahman Mat, 53, sempat khatam al-Quran di Masjidilharam pada hari kesembilan di Tanah Suci. Membaca 30 juzuk al-Quran di Mekah dan Madinah telah menjadi rutin beliau setiap kali mengerjakan umrah. Selepas menunaikan haji pada 2007, hampir setiap tahun beliau melaksanakan ibadah umrah, kesemuanya menggunakan khidmat TH Travel.

Menurut beliau, pengalaman mengerjakan umrah di Tanah Suci adalah pengalaman terhebat dan luar biasa dibandingkan dengan pengalaman percutian ke mana-mana tempat di dunia lain di dunia.

“Melancong ke tempat lain adalah untuk melihat keindahan ciptaan Tuhan secara fizikal, namun umrah adalah untuk mendekati, melihat dan mengenal Tuhan dalam bentuk rohani.

“Di sini kita akan melihat kerohanian sebenar manusia yang memperhamba diri kepada Allah dengan meninggalkan urusan dunia yang sementara.

“Suasana peniaga-peniaga menutup kedai apabila azan berkumandang dan manusia pelbagai bangsa berkejar-kejar ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah demi mencari cinta Ilahi adalah satu pemandangan yang sungguh mendamaikan,” ujarnya.