Salah satu teknik pemasaran yang terbukti berjaya memberi impak besar dengan kos minimum adalah melalui ejen dan stokis.

Jadi, tidak hairanlah rata-rata usahawan kecantikan di negara ini lebih selesa menggunakan kaedah pemasaran berkenaan.

Kaedah tersebut turut menjadi pilihan usahawan produk kecantikan berasaskan bahan semula jadi, Queen of Magic.

Pengasasnya, Nurul Ain Salehuddin berkata, stokis dan ejen memainkan peranan besar dalam usaha membantu mempromosi dan memasarkan produk kecantikan Queen of Magic.

Bagi memastikan pasaran produknya terus berkembang, Nurul Ain menambah, pihaknya membuka pintu kepada orang ramai yang berminat untuk menjadi stokis dan ejen.

“Buat masa ini, kami mempunyai seramai 10 orang stokis dan 50 orang ejen di seluruh negara. Jumlah ini masih tidak mencukupi untuk memasarkan produk kami.

“Jadi, kami ingin mempelawa orang ramai menjadi stokis dan ejen sekali gus membantu menjana pendapatan mereka,” katanya ketika ditemui K2 di Klebang, Melaka baru-baru ini.

Produk Queen of Magic mula berada dalam pasaran sejak tahun ini. Produk kecantikan tersebut mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dan lulus ujian makmal.

Manfaat

Antara produk terlaris dalam jenama Queen of Magid adalah pencuci muka serum, krim harian, krim malam dan bedak sejuk.

Menurut Nurul Ain, antara kriteria utama untuk menjadi stokis dan ejen produk tersebut mestilah seorang yang aktif melakukan iklan serta promosi sama ada secara langsung atau menerusi media sosial.

Dia menambah, pihaknya juga sangat menggalakkan pengguna produk Queen of Magic menjadi stokis atau ejen bagi memudahkan memberi penerangan kepada pengguna.

“Modal untuk menjadi stokis adalah RM3,000 manakala ejen RM150. Ganjaran akan diberikan setiap bulan mengikut jumlah jualan,” katanya.

Antara manfaat yang diperoleh stokis dan ejen Queen of Magic ialah latihan secara berkumpulan, khidmat bantuan, bahan promosi disediakan selain harga produk mampu milik.

“Kami akan memberi latihan dan bahan secukupnya kepada ejen dan stokis bagi memudahkan mereka berinteraksi dengan para pelanggan.

“Sekiranya ada yang memerlukan bantuan atau khidmat nasihat, stokis dan ejen boleh menghubungi khidmat bantuan kami pada setiap masa,” jelasnya lagi.

Buat masa ini, rangkaian produk Queen of Magic telah dipasarkan ke Brunei, Singapura dan Indonesia.

Maklumat lanjut mengenai produk Queen of Magic boleh diperoleh dengan menerusi Facebook, Queenofmagic HQ atau hubungi talian 019-452 1267.