Yang menariknya, perisytiharan ‘tutup sementara’ pejabat kerajaan selama dua hari yang dibuat genap setahun Donald Trump diangkat sebagai Presiden negara Uncle Sam itu mungkin dianggap sebagai sesuatu yang memalukan.

Media juga melaporkan, operasi kebanyakan agensi kerajaan termasuk White House, sistem pertahanan, imigresen dan stesen di angkasa lepas terpaksa dihentikan menjelang 19 Januari lalu.

Ia ekoran daripada pertelingkahan dalam kalangan ahli kongres untuk meneruskan pembiayaan operasi kerajaan persekutuan.

Kempen

Malah, berita tentang rancangan populis Trump untuk memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv, Israel ke Baitulmuqaddis dilihat sebagai cubaan menimbulkan ketegangan baharu di Asia Barat.

Apa mesej di sebalik senario ini? Penulis melihat melalui kuasa demokrasi, rakyat berhak memilih sesebuah kerajaan yang mereka suka sama ada pemimpin yang memiliki pendekatan berhemah atau dilihat ‘gila’ dalam setiap tindak tanduk mereka.

Dalam erti kata lain, khalayak mudah tertarik kepada sesuatu berita bersifat kontroversi.

Tabiat pemimpin seperti Trump yang sentiasa mempergunakan saluran media sosial terutamanya Twitter untuk melontarkan idea kontroversi dan kritikan pedas terhadap polisi negara secara langsung berjaya menarik perhatian jutaan rakyat di negara tersebut, sekali gus mengangkat beliau sebagai Presiden AS sejak setahun lalu.

Dalam konteks Malaysia pula, tidak dapat dinafikan paluan gendang pilihan raya semakin hari semakin didengari di seluruh negara.

Pelbagai bentuk analisis dan spekulasi muncul dalam saluran media massa yang menarik untuk diperdebatkan.

Mungkin juga Mac, April atau selewat-lewatnya selepas Aidilfitri. Yang pasti, pengundi kini sudah bersedia untuk menyertai kemeriahan pesta demokrasi yang berlaku setiap lima tahun itu.

Menyentuh soal kempen dan maklumat, media sosial ketika ini diakui menjadi platform paling berpengaruh untuk dijadikan ruang perkongsian pandangan masyarakat awam.

Banyak kajian telah dijalankan oleh penyelidik untuk melihat bagaimana kesan media sosial mampu mengubah landskap persepsi dan pemikiran pengundi di sesebuah negara.

Malah, peristiwa Arab Spring yang telah meruntuhkan kebanyakan kerajaan di Asia Barat turut dikaitkan dengan pengaruh media sosial dalam menghubung dan menyatukan pandangan awam.

Sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) dan PRU-13, senario politik negara sentiasa berjaya melakar landskap baharu yang tidak pernah berlaku dalam beberapa pilihan raya yang dicatatkan pada pasca kemerdekaan negara.

Berita palsu

Rakyat khususnya pengundi mempunyai tahap literasi media dan politik yang meningkat dari semasa ke semasa.

Penulis melihat perkembangan itu sebagai sesuatu yang positif dalam usaha melahirkan seorang warga negara yang celik politik.

Faedahnya pasti akan diterima oleh kerajaan kerana ia mampu menjadi penyedia pandangan bernas dalam membentuk sesebuah polisi pada masa akan datang.

Lihat bagaimana rakyat memainkan peranan dalam menyumbang idea membentuk pelan Transformasi Nasional 50 (TN50) dan bajet tahunan negara.

Dengan wujudnya ruang awam yang kondusif berserta tahap literasi politik yang tinggi, banyak tenaga dan pemikiran kreatif masyarakat dapat digembeling untuk membangunkan negara.

Jika dahulu, media tradisional seperti akhbar, radio dan televisyen menjadi medium utama penyampaian maklumat dan kempen.

Namun, sejak munculnya internet, corak kempen mulai berubah dengan media sosial menjadi keutamaan.

Banyak kajian telah membuktikan calon dan parti politik yang bijak mempergunakan media sosial serta media tradisional secara pintar untuk menyampaikan agenda kempen didapati sangat berkesan dalam membentuk dan menilai sentimen pengundi.

Bagaimanapun, fenomena penerbitan berita palsu atau fake news yang berleluasa ketika ini dilihat mampu mengancam kebebasan berdemokrasi rakyat.

Fenomena itu berlaku disebabkan oleh semakin ramai pengguna media sosial yang bertindak menjadi wartawan tidak profesional yang menerbitkan berita tidak sahih tetapi berpotensi untuk menjadi kontroversi.

Penulis melihat ia akan menjadi semakin rancak menjelang tarikh pilihan raya nanti.

Walaupun ia lumrah dan bakal menambah kerancakan suasana kempen melalui kewujudan pasukan tentera siber masing-masing, berita yang tidak tepat sangat mudah untuk membunuh kredibiliti calon serta parti politik yang bertanding.

Atas sebab itu jugalah beberapa organisasi media antarabangsa seperti Facebook bakal memperkenalkan aplikasi tambahan dalam perkhidmatan mereka untuk mengenal pasti dan menilai setiap berita yang wujud serta disebarkan.

Penulis melihat tahap literasi maklumat yang diperoleh melalui media sosial dalam kalangan rakyat di negara ini masih di tahap rendah.

Justeru, dalam membendung permasalahan ini, pendidikan dan publisiti perlu dilakukan untuk membuka minda khalayak agar lebih terbuka mencerna maklumat yang diterima melalui saluran ini.