Syarikat tersebut mahu membuka sebuah kilang memproses lada hitam, sekali gus memudahkan syarikat berkenaan memasarkan produk mereka.

Proses mencari tapak kilang mengambil masa selama setahun sebelum pihak pengurusan memilih tapak di Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub (MHH), Serkam, Melaka.

Pengarah Joeyees Venture, Awaeang Kwasin berkata, pihaknya memilih MHH sebagai lokasi kilang Nang Ori kerana ia terletak di sebuah kawasan perindustrian terancang.

Jelasnya, kilang di kawasan tersebut dibina mengikut piawai GMP (Good Manufacturing Practice) dan halal oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Kami mencari tapak kilang hampir di seluruh negara sebelum akhirnya bertapak di sini pada awal tahun ini.

“Kami memilih MHH kerana struktur dalaman kilangnya mengikut GMP tanpa perlu sebarang pengubahsuaian. Ini dapat menjimatkan kos,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Awaeang, pihaknya kini dalam proses akhir mendapatkan status GMP dan halal daripada Jakim, sekali gus membantu memudahkan syarikat berkenaan memasarkan produk Nang Ori.

Berbeza pula kisahnya dengan Siti Norbaya Mohd. Saad yang menjadikan MHH sebagai lokasi kilang syarikat MyLesung. Sdn. Bhd., atas faktor kos sewa yang berpatutan.

Menurutnya, mereka menyewa sebuah kilang di MHH seluas 40 meter persegi dengan bayaran serendah RM800 sebulan.

MyLesung merupakan sebuah syarikat pengeluaran tepung ayam goreng berempah. Ia juga pembekal tepung kepada pengusaha gerai ayam goreng di seluruh negara.

Sewa rendah

“Selepas beberapa tahun beroperasi di rumah yang terletak di Klang, Selangor, kami terpanggil untuk memindah operasi ke kilang bersesuaian. Ia bagi memudahkan kami mendapatkan status halal.

“Akhirnya, kami memilih untuk beroperasi di MHH kerana kadar sewanya lebih rendah berbanding di Klang. Kos sewa juga sesuai dengan syarikat kecil seperti kami,” jelasnya.

MHH diwujudkan sejak tahun 2006 dan dimiliki sepenuhnya oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka.

Syarikat itu ditubuhkan bagi menyediakan infrastruktur dan menguruskan kawasan Projek Industri Halal Hub Serkam yang keluasan 54.2 hektar.

Ketua Pegawai Eksekutif MHH Sdn. Bhd., Md. Zaini Zainal berkata, pihaknya bertanggungjawab membangunkan usahawan khususnya dalam pengeluaran dan mempromosikan produk halal.

“Buat masa ini, seramai 80 usahawan berada di bawah naungan MHH dengan pelbagai produk pengeluaran.

“Antara jenis produk keluaran usahawan di MHH ialah produk makanan, minuman, kosmetik, makanan tambahan dan farmaseutikal,” katanya sambil memaklumkan, MHH adalah pusat industri halal pertama di negara ini.

Menurut Md. Zaini, MHH menyediakan 147 premis kilang untuk disewakan khususnya kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Semua premis berkenaan mempunyai kemudahan lengkap dan mematuhi piawaian sijil yang diiktiraf.

MHH menawarkan tiga jenis kilang buat PKS iaitu kilang sesebuah dengan kadar sewa RM3,800 sebulan, kilang berkembar (RM2,100) dan kilang teres (RM800).

“Kami juga bertanggungjawab membantu dan membimbing para usahawan untuk meningkatkan produktiviti mereka supaya lebih berdaya saing.

“Bagi meningkatkan daya saing usahawan, kami kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad dan SME Corporation Malaysia,” katanya.

Bagi memenuhi keperluan industri halal yang semakin pesat di seluruh dunia, MHH mengambil beberapa inisiatif untuk perkukuh dan memperluaskan lagi pasaran halal.

Md. Zaini memberitahu, pihaknya memulakan program Halal Di Hatiku bagi membina kapasiti industri halal dan perdagangan halalan toyyiban.

Tambahnya, program tersebut juga bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna tentang pentingnya menggunakan produk halal selain membantu meningkatkan kemahiran modal insan industri halal.

“Jenama halal amat sesuai untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama. Justeru, kami perlu berusaha menarik lebih ramai orang untuk memahami keindahan Islam,” ujarnya.