Enam tonggak tersebut mampu untuk membantu negara mencapai status negara maju sepertimana yang dihasratkan oleh beliau dalam Wawasan 2020.

Disebabkan itu, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan modal insan di negara ini diperkasakan untuk memastikan matlamat dan agenda murni itu dapat dicapai dengan jayanya.

Di antara elemen utama modal insan yang perlu diperkasakan ialah menyuburkan nilai-nilai murni terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Penyuburan nilai-nilai murni dalam kalangan generasi muda amatlah penting kerana mereka adalah pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan.

Dengan adanya pelapis kepimpinan negara yang mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi, pastinya kecemerlangan dan kemakmuran negara mampu dicapai dengan jayanya.

Antara nilai-nilai murni yang perlu diterapkan kepada generasi muda pada hari ini ialah menghormati antara satu sama lain, kasih sayang dan kegembiraan.

Nilai seperti itu amat penting untuk dimiliki oleh setiap golongan terutamanya golongan muda kerana ia mampu untuk membantu mereka menjadi lebih hebat dan cemerlang.

Justeru, adalah amat penting untuk seluruh rakyat di negara ini memberi sokongan padu kepada usaha murni kerajaan bagi memperkasakan modal insan ini untuk kecemerlangan masa depan.

Pembangunan modal insan memainkan peranan yang sangat penting kepada kecemerlangan dan kemajuan negara.

Tanpa mempunyai modal insan yang mantap adalah mustahil kepada negara untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Keadaan menjadi lebih signifikan sekiranya modal insan ini dirujuk kepada generasi muda atau Gen-X yang ada pada hari ini. Dengan jumlah melebihi 1.3 juta orang mereka merupakan tiang seri kepada kemajuan dan kemakmuran negara pada masa hadapan.

Oleh yang demikian, adalah perlu untuk memastikan setiap generasi muda ini mempunyai nilai-nilai murni sepertimana yang telah digariskan agar mereka mampu untuk menerajui negara kelak dengan adil dan bertanggungjawab.

Dengan adanya barisan kepimpinan yang memiliki nilai murni seperti ini sahajalah yang mampu mencapai kecemerlangan dan kemajuan negara pada masa hadapan.

Pastinya sebagai negara maju menjelang tahun 2020 dan pada tahun yang seterusnya, Malaysia mengharapkan seluruh barisan kepimpinan negara memiliki sifat integriti yang tinggi dan bertanggungjawab sepertimana yang diharapkan oleh Perdana Menteri yang dinyatakan semasa pembentangan usul mengenai kajian separuh penggal RMK11 lalu.

Pembangunan holistik

Modal insan juga memberikan penekanan yang serius kepada pembangunan secara holistik.

Pembangunan holistik hanya akan dapat dicapai sekiranya komponen fizikal, sosial, dan rohani berada dalam keadaan seimbang.

Pembangunan holistik seperti ini hanya akan dapat dicapai sekiranya pembangunan modal insan diutamakan di negara ini.

Sekiranya pembangunan modal insan tidak diberikan perhatian yang serius nilai-nilai murni akan hilang daripada menjadi amalan dalam kalangan ahli masyarakat.

Apabila senario sebegini terjadi, pastinya negara akan menghadapi pelbagai masalah seperti vandalisme, pergaduhan, rasuah dan pelbagai lagi.

Jepun merupakan sebuah negara contoh yang telah berjaya membangunkan modal insan dalam kalangan masyarakatnya dengan cemerlang.

Justeru, masyarakat Jepun pada hari ini amatlah berdisiplin, bertanggungjawab dan sangat berintegriti dalam menjalankan tugas seharian mereka sama ada sebagai pekerja kerajaan, swasta ataupun persendirian.

Oleh yang demikian, tidak hairanlah Jepun muncul sebagai negara contoh dalam pelbagai perkara pada hari ini terutamanya dalam aspek kebersihan.

Pembangunan modal insan adalah amat penting kepada kemajuan dan kecemerlangan negara.

Dengan adanya pembangunan modal insan ini, negara mampu untuk mencapai kesejahteraan dan keharmonian masyarakat pada masa kini dan akan datang.

Pembangunan modal insan juga mampu untuk melahirkan pembangunan negara secara holistik.

Pembangunan fizikal, sosial dan kerohanian sentiasa berada dalam keadaan yang seimbang.

Dengan adanya senario yang sedemikian, Malaysia mampu terus cemerlang bukan sahaja dalam aspek fizikal tetapi apa yang lebih penting dalam konteks sosial dan spiritual sepertimana yang telah dikecapi oleh negara Jepun pada hari ini.

Semoga Malaysia terus maju dan cemerlang selari dengan kehendak negara dan kepimpinan negara pada hari ini dan akan datang.