Kesemua 31 karya hasil tangan pelukis tempatan, Indonesia dan Korea Selatan itu dipertontonkan sempena Pameran Seni RRRWARRR!!! Maybank’s Women Artists Show 2018.

Pameran RRRWARRR!!! itu diilhamkan daripada bunyi ngauman harimau dianjurkan untuk meraikan Hari Wanita Sedunia dan mengangkat isu-isu kewanitaan dalam karya yang dihasilkan.

Elemen-elemen abstrak bermotifkan bunga, batik, figura wanita, kain sutera dan kediaman menyerlahkan lagi sifat kewanitaan serta menggambarkan identiti masing-masing.

Semua karya yang dipamerkan itu dijual pada harga bermula RM3,000 hingga RM15,000.

Sebanyak 50 peratus hasil jualan itu akan disalurkan ke Tabung Yayasan AIDS Malaysia.

Bagaimanapun, dalam puluhan karya yang tergantung indah itu, ramai pengunjung nampak tertarik kepada sebuah karya figura wanita di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) hasil karya, Liew Mei Toong, 22.

Perjalanan

Karya bertajuk Passerby of Life itu melambangkan perjalanan kehidupan seorang wanita.

Katanya, dia mengambil masa selama sebulan untuk menyiapkan lukisan yang menggunakan tema dekat dengan dirinya.

“Karya ini meneroka perjalanan hidup seseorang dalam konteks masa dan ruang yang berbeza. Ia berkaitan emosi apabila melalui kesukaran dalam hidup.

“Saya juga melalui pengalaman dan perasaan sama seperti wanita lain. Ilham itu lebih mudah disampaikan kerana saya wanita dan memahami subjek yang ingin diketengahkan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Balai Seni Maybank, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Mei Toong, dia memilih LRT untuk dijadikan latar tempat bagi menggambarkan perjalanan hidup.

“Setiap orang mempunyai jalan cerita yang berbeza. LRT membawa penumpang berhenti dari satu stesen ke stesen yang lain dan melalui jalan yang berbeza.

“Begitu juga manusia, mempunyai jalan cerita yang berbeza, melalui suka duka yang pada akhirnya akan mengajar erti kehidupan,” katanya.

Bagi menghasilkan karya itu, dia meneroka ke beberapa stesen LRT bagi tujuan mengambil gambar yang menarik untuk dijadikan idea penghasilan karya.

“Saya mengambil banyak gambar di setiap stesen LRT dari pelbagai sudut. Bagaimanapun, saya memilih gambar pelajar perempuan yang sedang menunggu di stesen LRT Masjid Jamek untuk diolah dan dijadikan karya,” katanya.

Cerita Mei Toong, karyanya turut menonjolkan kesepian, kemurungan, kesedihan dan kegelisahan yang dilalui subjek dalam kehidupan.

“Tekstur permukaan yang kelam dan suram dengan jelas menunjukkan nilai-nilai kesedihan yang dibawa figura wanita dalam karya.

“Ia memperlihatkan bahawa hidup ini sesuatu yang sukar dan kadangkala kita melalui fasa kejatuhan yang membuatkan kita susah untuk bangkit kembali,” ujar anak bongsu dari tiga adik-beradik itu.

Perjuangan

Mei Toong berkata, uniknya karya yang dihasilkan itu adalah kerana dia menggunakan teknik membina, memusnahkan dan memperbaiki kembali.

“Terdapat beberapa lapisan dalam karya ini yang pada asasnya memberi gambaran bahawa kehidupan ini memerlukan perjuangan untuk bangkit daripada kegagalan.

“Ia membolehkan pengunjung untuk mentafsir makna kehidupan mengikut perspektif masing-masing,” katanya.

Mengimbau penglibatannya dalam bidang seni, gadis yang berasal dari Johor Bahru itu berkata, dia telah berkecimpung dalam bidang lukisan sejak berusia sembilan tahun lagi.

Ketika itu dia banyak mengekspresikan perasaannya ke dalam lukisan yang tidak dapat diluahkan menerusi kata-kata.

“Seni sebenarnya telah mententeramkan jiwa saya daripada tekanan dan emosi yang tidak stabil. Ia mengenai proses perjuangan.