Hari sambutan yang lebih dikenali sebagai Maulidur Rasul itu juga dijadikan cuti umum.

Walaupun sudah ada pihak-pihak yang mempertikai sambutan tersebut sebagai bidaah kerana sepanjang hayat Rasulullah sendiri tidak pernah diadakan sambutan seumpama itu oleh mana-mana pihak, Malaysia dan banyak lagi negara Islam tetap menjadikannya sebagai acara tahunan.

Ada juga kalangan Sunnah Waljamaah yang mempertikai kewajaran Maulidur Rasul kerana ia dimulakan oleh pemerintah dinasti Fatimid di Mesir yang bermazhab Syiah Ismailiah pada abad ke-10.

Namun, lebih ramai ulama yang berpendapat bahawa sambutan itu membawa lebih banyak kebaikan untuk diteruskan sebagai salah satu cara memuliakan Rasulullah.

Ia juga satu kaedah untuk mengingatkan umat Islam supaya mencontohi dan mentaati Baginda dalam segala aspek kehidupan.

Surah al-A’raf ayat 157 menyatakan: “Iaitu orang-orang (beriman dan bertakwa) yang mengikut Rasulullah, Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (iman dan Quran) yang diturunkan kepadanya, mereka itulah orang-orang yang berjaya.”

Tiada sebab untuk mengharamkan Maulidur Rasul kerana banyak perkara yang tidak diamalkan pada zaman Rasulullah kini turut menjadi cara hidup umat Islam.

Misalnya, jika Rasulullah dulu membersihkan gusi dan gigi dengan kayu sugi, pada hari ini kebanyakan umat Islam menggunakan berus dan ubat gigi.

Tidak juga kita mengharamkan penggunaan sudu dan garpu walaupun ia amalan yang dimulakan oleh bukan Islam.

Pokoknya, Rasulullah menganjurkan kebersihan dalam segala aspek kehidupan. Selagi apa jua amalan baharu tidak menggunakan bahan dan kaedah yang haram, maka ia tetap dibenarkan asalkan memenuhi prinsip yang Rasulullah anjurkan.

Budaya

Pada zaman Rasulullah, ada juga amalan yang menjadi budaya kerana sebab tertentu. Misalnya, Baginda dan para sahabat makan bersama dengan satu talam adalah disebabkan pinggan mangkuk pada zaman itu tidak kedapatan banyak seperti sekarang.

Pada zaman itu, dunia telah menggunakan peralatan tembikar yang diimport dari China. Bagaimanapun, disebabkan kemudahan pengangkutan sangat terhad, orang-orang Arab ketika itu masih bergantung kepada peralatan logam yang mampu mereka hasilkan.

Mengetahui bahawa China sangat ke hadapan dalam kemahiran teknologi ketika itu, Rasulullah telah menggesa umat Islam pada zaman Baginda supaya ‘menuntut ilmu hingga ke negeri China’.

Malangnya, tidak ramai ilmuwan yang dapat memahami maksud Baginda. Malahan kebanyakan ustaz pada awal abad ke-21 masih menganjurkan dalam ceramah mereka bahawa Rasulullah menyuruh kita belajar ‘ilmu agama’ sampai ke China.

Tidak terfikir oleh mereka bahawa Rasulullah menyuruh umatnya supaya mendalami ilmu sains dan teknologi. Jika hendak belajar agama, buat apa ke China kerana gedungnya ada pada Baginda dan para sahabat.

Dalam mencontohi Rasulullah yang budi pekerti dan akhlaknya disifatkan oleh isterinya, Saidatina Aishah sebagai cermin al-Quran, masih ada umat Islam yang tersasar keutamaan.

Perkara paling pokok yang Baginda bawa melalui al-Quran ialah iman dan ketakwaan. Syariat Islam sebagai cara hidup yang Allah redai tidak boleh tegak kukuh tanpa dua elemen itu.

Pakaian

Dalam hal ini, masih ada orang yang tidak boleh membezakan antara ciri-ciri Islam dan Arab.

Jika berada di Masjidilharam, perhatikan pakaian umat Islam yang beribadat di sana.

Yang memakai jubah ialah lelaki-lelaki Arab dan kebanyakan orang Malaysia. Sebaliknya, lelaki Pakistan tetap memakai shalwar kameez, lelaki Turki mengenakan celana panjang dan baju kemeja, manakala lelaki India kebanyakannya menyarung kurta dan kain pelekat atau seluar putih.

Amat sukar untuk melihat lelaki Malaysia memakai baju Melayu dan kain pelekat di Mekah. Kebanyakan mereka memakai jubah di Mekah dan begitu jugalah ketika pulang.

Di Malaysia mereka akan ke masjid dengan memakai jubah. Apakah untuk mencanang bahawa mereka telah ke Mekah?

Penulis teringat kepada pesanan seorang ulama mengenai cara berpakaian.

Katanya, pakailah jubah dan serban jika kita mahu berpakaian seperti Rasulullah tetapi jangan jika pakaian itu menyebabkan hati kita berasa hilang tawaduk kepada manusia lain.

“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah supaya mereka mengenang-Nya (dan bersyukur).” (al-A’rāaf:26)

Maka, sempena Maulidur Rasul tahun ini, muhasabahlah iman dan ketakwaan kita sama ada memenuhi kriteria yang Allah dan Rasulullah tuntut. Janganlah sekadar banyak berselawat sahaja.