Kemajuan internet dan telefon pintar menjadikan berita itu dapat diakses dalam tempoh beberapa saat sahaja, sekali gus menunjukkan seolah-olah manusia hari ini tahu semua perkara yang berlaku.

Bagaimanapun, banyak berita didatangkan dalam pelbagai bentuk, sama ada yang benar dan palsu, benar bercampur palsu atau palsu bercampur benar, ia adakalanya menjadikan kita tidak sempat menyaring sejauh mana ia adalah berita.

Banyak selebriti terkenal misalnya dikhabarkan telah meninggal dunia, menjadikan ia sebagai satu berita sensasi.

Bagaimanapun, selang beberapa hari, muncul pula berita baharu yang memberitahu betapa berita yang awal tadi adalah palsu.

Berita baharu itu sekali lagi menjadi berita sensasi, walaupun secara logiknya kerana berita yang awal tadi adalah palsu, berita yang kedua ini tidak sewajarnya menjadi sesuatu yang sensasi lagi.

Dalam bidang psikologi, isu mengenai maklumat benar dan palsu ini sebenarnya telah dikaji sejak sekian lama.

Antara yang terkenal ialah kajian oleh Hasher, Golstein dan Toppino yang dilakukan pada tahun 1977 untuk melihat sejauh mana manusia memproses maklumat betul serta salah.

Kajian eksperimen yang dilakukan terhadap lebih kurang 40 orang pelajar telah memaparkan sebanyak 60 kenyataan benar dan palsu.

Misalnya, kenyataan yang benar ialah ‘Kaherah di Mesir mempunyai populasi penduduk yang lebih ramai berbanding dengan Chicago, Illinois di Amerika Syarikat manakala kenyataan yang salah seperti Republik Rakyat China, telah ditubuhkan pada tahun 1947.

Dua minggu kemudian, kenyataan yang benar dan palsu ini diulang semula terhadap subjek yang sama dengan penambahan beberapa kenyataan yang baharu.

Hasilnya, apabila subjek mendengar kenyataan yang pernah didengar sebelum ini, mereka cenderung mempercayai bahawa ia adalah kenyataan yang benar, tanpa mengira sama ada ia asalnya ialah kenyataan yang salah atau palsu.

Strategi

Sebenarnya, dalam kehidupan harian kita, pengulangan berita inilah yang telah menjadi strategi baharu yang diguna pakai oleh banyak pihak.

Tatkala syarikat pengiklanan menggunakan konsep pengulangan ini untuk menampakkan betapa produk yang dihasilkan mempunyai kualiti yang tinggi, ahli politik pula mungkin menggunakan strategi pengulangan ini untuk menjatuhkan musuh politik mereka.

Sebab itulah, kita dapati ada berita yang pernah muncul puluhan tahun lalu yang pernah dilupai, tiba-tiba dikitar semula menjadikan ia seolah-olah berita baharu.

Mengapa manusia cepat percaya dengan berita yang diulang-ulang ini. Ia berlaku dengan banyak sebab.

Pertamanya, manusia dikatakan memproses maklumat berdasarkan kepada heuristik.

Dalam erti kata yang lain, apabila ingatan kita sudah menyimpan sesuatu maklumat terdahulu, dengan kemunculan maklumat yang sama kemudiannya ia akan menyebabkan secara automatik minda kita mengambil jalan pintas memproses maklumat tadi.

Ia adalah sesuatu yang diperlukan oleh semua manusia. Jika kita tidak melakukan pemprosesan maklumat secara heuristik ini, bayangkan betapa penatnya kita perlu mengulang semula membaca papan tanda jalan setiap kali mahu ke tempat kerja.

Sebenarnya, proses heuristik inilah yang menjadikan kita lebih mudah mengambil tindakan dalam banyak keputusan yang dibuat.

Kedua, berita yang diulang-ulang juga akan menyebabkan ia diperkatakan di mana-mana.

Sama ada berita tadi benar atau palsu, ia akan tetap dianggap sebagai benar kerana secara psikologikalnya manusia cenderung untuk berpegang kepada apa yang dipercayai oleh majoriti.

Dalam keadaan semua orang berkata bahawa sesuatu berita itu adalah benar misalnya, adalah agak sukar untuk kita menidakkan sekalipun kita tidak mempercayainya.

Dalam banyak keadaan, tindakan untuk menafikan berita palsu yang muncul adakalanya menjadikan berita tadi dianggap sebagai berita yang benar pula.

Ini kerana apabila ada kenyataan-kenyataan yang dibuat untuk menafikan berita tadi, seseorang yang menjelaskan ia perlu memberikan bukti yang kukuh bagi menolaknya.

Sekiranya kenyataan penafian ini dibuat tanpa bukti yang nyata, ia kemudiannya akan dianggap sebagai cubaan untuk menutup berita yang sebenarnya berlaku. Malangnya, kita tidaklah mempunyai bukti dalam kebanyakan situasi.

Jadi, dengan lambakan maklumat yang wujud hari ini, sama ada kita mampu menyaring ketulenan sesuatu berita itu atau tidak, ia tidak lagi bersifat berita. Daya intelektual dan asas logik itulah yang sepatutnya menjadi elemen utama kita menilai sesuatu maklumat.

Dalam kebanyakan kes, tunggu dan lihat sebelum cepat melatah dengan sesuatu berita mungkin menghindar kita daripada terkena ‘renjatan’ maklumat.

Benar atau salah adakalanya letaknya pada pentafsiran kita dan bukannya kepada objek berita itu sendiri.