Dua menara setinggi lima tingkat itu mempunyai ketinggian kira-kira 17 meter dan dibina bercirikan kesenian China. Ia terletak di antara bangunan utama dengan struktur kubah berwarna hijau.

Bagaimanapun, selepas dilihat dari jarak dekat, bangunan tersebut merupakan Masjid Al Islam Muhammad Cheng Hoo atau lebih dikenali sebagai Masjid Cheng Hoo oleh masyarakat setempat.

Ketika melangkah ke dalam masjid berkenaan, persekitarannya persis berada di China. Bukan disebabkan oleh seni binanya tetapi tulisannya ditulis menggunakan aksara China.

Bahagian bawah masjid itu dilengkapi tempat wuduk dengan mengkhususkan bahagian di sebelah kiri untuk kaum wanita manakala bahagian kanan bagi golongan lelaki.

Menara setinggi lima tingkat itu adalah simbolik berhubung jumlah solat yang perlu ditunaikan oleh umat Islam manakala ketinggian 17 meter menggambarkan bilangan keseluruhan rakaat solat yang dilaksanakan.

Masjid Cheng Hoo siap dibina pada tahun 2006 hasil inisiatif Persatuan Islam Tionghoa Indonesia (PITI) atau lebih dikenali sebagai Pembina Iman Tauhid Islam serta turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Mohammad Cheng Hoo Sriwijaya Palembang.

Kawasan untuk dibangunkan masjid berkenaan merupakan tanah yang diwakafkan oleh Syahrial Oesman berasal dari Sumatera Selatan.

Cetusan idea membina masjid itu pula bermula daripada semangat anggota PITI yang mahu membentuk sebuah kawasan untuk dijadikan tempat menuntut ilmu agama oleh individu mualaf selain menyatukan umat Islam.

Menurut penjaga Masjid Cheng Hoo, Ny. Maftuhudin, kedatangan pengunjung ke sini bukan sahaja bertujuan untuk mengerjakan ibadah sebaliknya turut berhasrat melihat keindahan serta kecantikan bangunan tersebut secara dekat.

Lokasi pelancongan

“Masjid ini turut tersenarai sebagai lokasi pelancongan keagamaan. Jadi, ramai pelancong termasuk dari luar Sumatera Selatan datang untuk melihat keindahan seni bina berunsur China dan Nusantara.

“Penggunaan nama Cheng Hoo pada masjid tersebut juga bukan bertujuan mengangkat kekuasaan Panglima Angkatan Laut China pada abad ke-15, sebaliknya meneladani semangat dakwah yang telah dibawa beliau,” jelasnya.

Mafthudin menambah, meskipun Cheng Hoo berasal dari negara yang mempunyai penganut agama Islam sebagai golongan minoriti namun beliau tetap menjalankan dakwah Islam ketika belayar ke luar negara.

Walaupun masyarakat sering diceritakan mengenai kehebatan kisah Laksamana Cheng Hoo sejak mereka di bangku sekolah lagi namun tidak semua orang terutamanya anak-anak muda mengenali siapakah di sebalik susuk tubuh itu.

Pelayaran

Berdasarkan catatan sejarah, Laksamana Cheng Hoo merupakan pemimpin Angkatan Laut China beragama Islam. Dia dilahirkan di Desa He Dai yang terletak di wilayah Yunan pada tahun 1371.

Di bawah kepimpinan beliau, Cheng Hoo telah menjadi pemerintah kapal sebanyak tujuh kali pelayaran yang melibatkan 317 buah kapal termasuklah perjalanan membawa harta karun di atas kapal sepanjang 119 meter.

Pelayaran tersebut turut disertai seramai 28,000 orang anak kapal.

Walaupun begitu, pelayaran Cheng Hoo perlu difahami menerusi konteks pelayaran China dan hubungan mereka dengan pihak luar berikutan bukan semua pelayaran yang dilaksanakan melibatkan ekspedisi diplomatik.

Berbeza dengan negara-negara Eropah yang melakukan pelayaran pada abad ke-16 dan ke-17 untuk mendapatkan kuasa dan penjajahan, pemerintah China adalah sebaliknya.

Perbezaan konsep pelayaran bangsa Eropah dan China juga terletak dalam bidang ekonomi serta budaya namun bukan kepada keupayaan teknologi.

Armada pelayaran dipimpin Cheng Hoo memiliki keupayaan teknologi maritim dan anak kapal yang terlatih bagi berdepan perjalanan panjang selain China tidak berminat untuk melakukan sebarang penjajahan untuk mengeksploitasi sumber alam.

Bagaimanapun, bangsa Eropah lebih berminat untuk menguasai dan menjajah negara yang dilawati mereka sehingga menimbulkan eksploitasi sumber alam terhadap negara yang dikunjungi.

Unsur-unsur berkenaan menjadi bukti mengapa pelayaran Cheng Hoo ke beberapa negara-negara Asia Tenggara termasuk Indonesia diterima dengan tangan terbuka kerana ia lebih bersifat untuk berdagang.

Selain itu, Cheng Hoo turut memperkenalkan agama Islam kepada negara yang dilawati beliau seterusnya memberikan keyakinan kepada penduduk setempat untuk menerima kedatangannya.

Berdasarkan sejarah, Cheng Hoo telah mengunjungi kepulauan Indonesia sebanyak tujuh kali. Ketika mengunjungi Samedera Pasai, beliau telah menghadiahkan loceng raksasa bernama Cakra Donya kepada Sultan Aceh yang kini tersimpan rapi di Muzium Banda Aceh.

Pada tahun 1415, Cheng Hoo berlabuh di Muara Jati yang kini dikenali sebagai Cirebon. Dia menghadiahkan cenderamata khas berupa piring yang ditulis ayat Kursi kepada Sultan Cirebon.

Antara peninggalan lain beliau yang terdapat di Indonesia termasuklah tokong cina iaitu Kelenteng Sam Po Kong. Di hadapan tokong tersebut terdapat patung Cheng Hoo yang dikenali sebagai Mbah Ledakar Juragan Dampo Awang Sam Po Kong.

Sebagai mengenang perjalanan Cheng Hoo ke Indonesia, pemerintah Kota Palembang turut membina replika kapal yang dibina daripada kayu. Ia ditempatkan di Taman Purbakala Kerajaan Sriwijaya.