Sejak setahun lalu, beliau telah mengorak langkah baharu dengan membuka Restoran Chinese Muslim Abdullah di Medan Meru Bestari, Meru di Ipoh, Perak yang menghidangkan masakan kantonis yang halal.

Menurut Muhammad Aiman, restoran tersebut menghidangkan lebih 100 masakan berkonsepkan kantonis yang merupakan hidangan tradisi keluarganya.

Beliau yang merupakan pengarah urusan restoran itu berkata, masakan kantonis merupakan hidangan masyarakat Cina namun, rasanya sesuai dengan lidah masyarakat Melayu di negara ini.

“Paling penting, sajian makanan di restoran ini halal dan ia sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Menu di restoran ini dipilih oleh bapa saudara saya dan kami masih mengekalkan cita rasa resipi keluarga.

“Berdasarkan pengamatan saya, tidak banyak restoran Cina Muslim di Ipoh untuk pelancong domestik atau luar negara berkunjung. Jadi, idea pembukaan restoran ini dihasilkan agar ia dapat memenuhi permintaan atau keinginan masyarakat untuk mencuba makanan Cina,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada majlis perasmian pembukaan restoran tersebut baru-baru ini.

Hadir merasmikan majlis tersebut ialah Pengarah Pelancongan dan Kesenian Perak, Mohd. Hizaz Mohd. Ibrahim.

Sotong ribut

Hidangan kantonis yang menjadi tarikan di restoran itu antaranya ayam masak lemon, ikan siakap masak asam pedas, sirip jagung yang diperbuat daripada tepung, ikan masak masam manis, kupang kam heong dan pelbagai jenis masakan udang lipan.

Pengunjung juga perlu mencuba hidangan sotong ribut yang merupakan hidangan signatur ciptaan keluarga Muhammad Aiman untuk penggemar masakan kantonis.

Muhammad Aiman memberitahu, harga yang ditawarkan di restoran itu berpatutan iaitu untuk hidangan nasi goreng Cina serendah RM7 hingga ke pelbagai masakan ikan pada harga maksimum RM70.

“Bagi hidangan ikan, saya telah menetapkan saiznya yang besar pada harga maksimum iaitu RM70 untuk setiap masakan. Harga itu amat berpatutan dan pengunjung juga boleh merangka bajet mereka sebelum menempah hidangan.

“Saya juga mementingkan aspek kebersihan dan pengunjung tidak perlu risau dengan kaedah penyediaan makanan kerana sembilan cef di restoran ini merupakan orang Islam,” katanya.