Namun, penggunaan dapur kayu tidak lagi dipraktikkan oleh majoriti masyarakat masa kini disebabkan oleh arus kemodenan.

Dapur gas dan elektrik mengambil alih sepenuhnya peranan dapur kayu dalam urusan memasak seharian.

Walaupun dihambat kemodenan, masih ada premis makanan yang setia menggunakan kaedah lama menggunakan dapur kayu.

Warung berusia 40 tahun itu terletak di Kampung Bukit Kelulut, Bahau, Negeri Sembilan.

Premis diberi nama Kodai Asap itu ternyata mengekalkan nostalgia kepada pengunjung yang rindukan masakan dapur kayu.

Kedai itu diusahakan seorang wanita warga emas, Asmah Abu Bakar, 80, atau lebih dikenali sebagai Uwan oleh masyarakat setempat.

Bagi Uwan, dia mempunyai alasan tersendiri untuk mengekalkan kaedah memasak secara tradisional.

“Saya masih menggunakan dapur kayu bagi mengekalkan rasa makanan yang disediakan di kedai ini.

“Sudah berpuluh tahun pelanggan dihidangkan dengan makanan yang menggunakan dapur kayu dan mereka mahu ia dikekalkan,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Resipi

Antara menu popular di Kodai Asap ialah mi rojak, mi kari dan nasi lemak.

Uwan berkata, memasak menggunakan dapur kayu menjadikan masakannya lebih enak. Malah, ada sebilangan pelanggan memang gemarkan bau masakan yang menggunakan dapur kayu.

Resipi masakannya pula didakwa berbeza dengan kedai-kedai lain, sekali gus menjadikan rasa makanan lebih unik.

Namun, Uwan tidak dapat menjelaskan secara spesifik mengapa masak menggunakan dapur kayu menjadikan makanan lebih enak.

“Saintifik saya tidak tahu tetapi jika nak tahu sedap atau tidak, datanglah ke sini,” katanya berseloroh.

Mengulas tentang tahap kesihatannya yang sudah berusia 80 tahun, dia menjelaskan, minat dalam berniaga menjadikannya sentiasa bersemangat.

Jelasnya, selepas kematian suaminya beberapa tahun lalu, dia kini mengendalikan warung tersebut bersama dua anaknya.

Tambahnya, Kodai Asap beroperasi pada setiap hari bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang kecuali jika sakit.

“Kedai saya ini kecil sahaja, mampu menampung 15 hingga 20 pelanggan pada satu-satu masa. Bangunan kedai juga diperbuat daripada kayu,” katanya.