Begitulah maksud pertanyaan mukadimah dalam beberapa video berbahasa Inggeris yang disebarkan melalui media sosial terutamanya WhatsApp sekarang. Barangkali bikinan orang Yahudi.

Lalu anda diperlekeh bahawa anda tidak boleh melakukannya kerana terlalu banyak barang buatan Yahudi yang sudah menjadi sebahagian daripada alat kehidupan harian anda sekarang.

Antaranya, komponen dalam komputer dan telefon pintar termasuk aplikasi Waze serta Google.

Selain video, turut disebarkan tulisan yang menyenaraikan pencapaian sains dan perubatan ciptaan Yahudi. Juga ditanya, apakah pencapaian orang Islam berbanding Yahudi?

Di sebalik apa jua alasan yang mahu dijadikan jawapan balas, cemuhan itu adalah hakikat semasa yang tidak boleh dinafikan.

Tiada guna berhujah bahawa era sains moden sebenarnya dimulakan oleh tokoh Islam seperti Ibnu Sinna, al-Jazari, al-Kawani dan banyak lagi kerana mereka adalah dari zaman kegemilangan yang telah berlalu.

Apa yang perlu ialah menjadikan momokan itu satu cabaran untuk berjihad bagi memulihkan martabat ummah yang boleh dikatakan hampir jatuh ke peringkat dayus.

Perkara yang lebih penting ialah umat Islam sekarang mestilah bersedia untuk beriman dan berjihad seperti umat zaman Rasulullah dulu.

Lihat betapa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan angkuh mengisytiharkan pengiktirafan ke atas Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Dia tahu bahawa dunia Islam akan marah. Cuma dia tidak perlu berkata: “Apa kamu (umat Islam) boleh buat.”

Sebilangan negara Islam menghidap penyakit wahan (cintakan dunia) yang keterlaluan, malah ekonomi mereka sangat bergantung kepada AS.

Sejauh mana mereka boleh menyahut gertakan Trump dan Israel sedangkan senjata yang mereka miliki adalah buatan dan ihsan AS.

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.” (al-Baqarah:120)

Rohaniah

Jika dari segi keupayaan fizikal negara-negara Islam pada zaman ini ketara lemah, sebilangan besar mereka juga tidak lagi memiliki kekuatan rohaniah.

Mereka mengaku beriman kepada Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Perkasa tetapi hakikatnya mereka tidak lagi berserah diri kepada Allah.

Mereka membaca al-Quran yang di dalamnya Allah berjanji berkali-kali untuk memberi kemenangan kepada orang-orang beriman tetapi mereka sebenarnya tidak mempelajari apapun. Mereka membaca al-Quran hanya sekadar untuk ‘mencari pahala’.

Sepatutnya mereka merenungi betapa umat Islam yang sedikit pada zaman Rasulullah telah memenangi peperangan demi peperangan kerana mereka memiliki kekuatan iman.

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dalam kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (Islam) yang telah diredai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan memberikan mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (An-Nur:55)

Dalam peperangan Badar, pasukan Islam pimpinan Rasulullah yang berjumlah 313 orang berjaya menewaskan tentera musyrikin seramai lebih 1,000.

Kemudian dalam peperangan Khandak pasukan orang beriman Madinah yang berjumlah sekitar 3,000 orang berjaya menewaskan lebih 10,000 tentera gabungan Arab musyrikin dan Yahudi.

Al-Quran turut menceritakan bagaimana Allah memberi kemenangan kepada orang-orang Islam yang beriman dalam peperangan Khandak.

“Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut serta angkatan tentera (malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.” (al-Ahzab:9)

Takut mati

Pada hari ini, umat Islam sudah mencapai 1.3 bilion tetapi keadaan mereka sama seperti yang Rasulullah pernah sebutkan dalam hadis yang sangat masyhur.

“Nyaris orang-orang kafir menyerbu dan membinasakan kalian, seperti halnya orang-orang yang menyerbu makanan di atas pinggan.”

Seseorang berkata: “Apakah kerana kami sedikit waktu itu?”

Rasulullah menjawab: “Bahkan kalian waktu itu banyak sekali tetapi kamu seperti buih atas air. Dan Allah mencabut rasa takut musuh-musuh kamu terhadap kalian serta mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan.”

Seseorang bertanya: “Apakah wahan itu?”

Baginda menjawab: “Cinta dunia dan takut mati.”

(HR Ahmad, Al-Baihaqi dan Abu Dawud)

Begitulah keadaan umat Islam sekarang. Bilangan ramai tetapi sangat takut mati, walaupun kematian tetap akan berlaku. Itulah tanda lemahnya iman.