Jumlah permohonan untuk menubuhkan koperasi di seluruh negara yang direkodkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) juga meningkat setiap tahun sekali gus menjadi bukti kepercayaan segenap lapisan masyarakat terhadap peranan dan manfaatnya.

Sehingga 30 Jun 2017, sebanyak 13,648 koperasi berdaftar dengan SKM melibatkan keanggotaan seramai 6,733,788 orang dengan lebih RM13.8 bilion syer dan RM135.815 bilion nilai aset secara keseluruhan.

Komited

Mengulas perkembangan ini, Naib Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa), Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, penyertaan dalam koperasi kini menjadi budaya yang semakin diterima khalayak malahan beliau yakin ia akan menjadi instrumen terbaik untuk menggembleng ekonomi umat Islam di negara ini.

“Melibatkan diri dalam koperasi bukan sahaja meningkatkan ekonomi tetapi juga sosiobudaya masyarakat. Konsep ini selaras dengan ajaran Islam dan kita di Angkasa mahu menyuntik elemen ini dalam koperasi. Kita mahu mensyariahkan koperasi kerana matlamat kita berniaga bukan sahaja untuk keuntungan wang ringgit, sebaliknya akhirat iaitu demi barakah dan keredaan Allah,” katanya.

Beliau ditemui selepas menjadi salah seorang panel program Memartabatkan Ekonomi Koperasi dan Memperbaiki Kehidupan Ahli yang berlangsung di Kompleks Seruan Islam, Ipoh baru-baru ini.

Program yang dihadiri lebih 300 pengurusan kanan koperasi seluruh negeri Perak itu dirasmikan Pengarah SKM negeri, Azam Sulaiman.

Menurut Mohamad Ali, Angkasa kini komited membantu mana-mana koperasi untuk mengembangkan potensi perniagaan mereka memandangkan masih banyak pengerusi dan ahli lembaga pengarah koperasi yang tidak mengetahui hala tuju bisnes yang diceburi.

“Dengan bimbingan dan latihan berterusan, kita percaya setiap koperasi mampu menjana pendapatan serta keuntungan sepatutnya. Angkasa juga memberi penumpuan terhadap penubuhan cadangan Koperasi Kariah Masjid untuk memberikan pelbagai faedah kepada semua ahlinya.

“Koperasi Kariah Masjid yang ditubuhkan oleh ahli-ahli kariah dan jawatankuasa masjid itu mempunyai pelbagai tujuan selain untuk mengimarahkan masjid,” katanya.

Pembiayaan

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Bank Co-op Persatuan, Yunus Kasim memberitahu, pihaknya bersedia menawarkan pelbagai pembiayaan kepada koperasi yang berminat untuk mengembangkan bisnes atau menceburi perniagaan baharu.

“Sebagai bank koperasi, Bank Co-op Persatuan prihatin dengan keperluan (koperasi) untuk mengembangkan perniagaan dengan menawarkan pembiayaan mudah dengan kadar faedah yang sangat berpatutan,” katanya.

Dalam pada itu, pengerusi jawatankuasa penganjur program, Datuk Abdul Ghani Ngah berkata, pihaknya komited menggembleng usaha bersama SKM dan Angkasa dalam membantu pengurusan kanan koperasi memahami potensi dan peluang yang boleh direbut dari semasa ke semasa.

“Misalnya, melalui penubuhan Koperasi Kariah Masjid, kita mengharapkan masyarakat Islam boleh menggunakan koperasi sebagai tempat untuk mengumpulkan segala sumber.

“Ia boleh dijadikan sebagai sumber untuk mengumpul modal kerana dalam sesuatu kariah itu, komunitinya terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kepakaran.

“Sebagai contoh, jika dalam kalangan kariah itu mempunyai guru, dia boleh membantu untuk membuka kelas tuisyen dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya yang juga pengerusi Koperasi Mega Ipoh Berhad.