Amalan seperti ini tidak menjadi satu kesalahan sekiranya pengusaha yang terlibat adalah orang Melayu ataupun mereka yang beragama Islam.

Namun apa yang berlaku ialah pengusaha tersebut bukan orang Melayu dan tidak juga beragama Islam. Mereka sekadar menggunakan nama tersebut untuk melariskan perniagaan.

Alasan utama mereka bertindak sedemikian ialah bagi menarik lebih ramai pelanggan terutamanya orang Melayu dan Islam untuk datang ke premis itu.

Amalan seperti ini merupakan satu kesalahan kerana ia bukan sahaja menipu pelanggan tetapi apa yang lebih serius adalah memberi imej serta reputasi buruk kepada nama bangsa dan agama.

Bagaimanapun, masih terdapat pengusaha premis ataupun pengeluar produk makanan yang secara sengaja menggunakan nama Melayu atau Islam untuk tujuan mendapatkan keuntungan.

Mereka tahu majoriti daripada masyarakat di negara ini terdiri daripada orang Melayu dan beragama Islam.

Perbuatan ini amat bertentangan dengan amalan murni masyarakat setempat kerana ia dilakukan semata-mata ingin mengaut keuntungan dengan cara menipu pengguna.

Tindakan bersepadu perlu dilakukan untuk memastikan amalan seperti ini dapat dibendung dengan lebih berkesan. Untuk mencapai matlamat tersebut, beberapa langkah perlu dilaksanakan agar amalan yang tidak sihat ini dapat dibendung dengan lebih efektif.

Pengguna perlu lebih prihatin

Bagi memastikan amalan yang menggunakan nama berkaitan dengan bangsa atau agama lain untuk tujuan mendapatkan keuntungan disekat dengan berkesan, setiap ahli masyarakat terutamanya bangsa atau agama yang terlibat perlu lebih peka dan prihatin terhadap mana-mana premis yang dikhuatiri menggunakan kaedah sedemikian.

Maklumat mengenai premis perniagaan atau produk makanan boleh diperoleh dengan merujuk kepada agensi kerajaan yang bertanggungjawab dengan penubuhan syarikat atau yang mengeluarkan lesen kepada premis yang berkenaan.

Ahli masyarakat yang berjaya mendapatkan maklumat berkenaan perlu memaklumkan kepada pihak berkuasa agar tindakan boleh diambil berdasarkan kepada peraturan dan undang-undang semasa.

Selain itu, maklumat tersebut juga boleh dikongsi melalui media sosial agar pengguna lain tidak tertipu dengan muslihat pengusaha berkenaan.

Tindakan undang-undang

Untuk memastikan amalan menggunakan nama bangsa dan agama lain di premis atau produk makanan semata-mata untuk mendapatkan keuntungan, tindakan undang-undang wajar dikenakan kepada mereka yang terlibat.

Tindakan undang-undang perlu diambil kerana perbuatan menggunakan nama bangsa atau agama lain menyalahi peraturan dan nilai serta norma kehidupan masyarakat setempat.

Di sesetengah negara seperti di Amerika, amalan seperti ini akan berhadapan dengan tindakan undang-undang yang serius kerana memberi gambaran yang salah kepada pengguna atau menipu pengguna.

Akta penggunaan nama premis

Akta penggunaan nama premis mungkin perlu diperkenalkan di negara ini. Sekiranya ia masih belum diwujudkan atau telah ada, pelaksanaan dan penguatkuasaan perlulah dilakukan.

Melalui akta ini, mana-mana pengusaha yang ingin membuka premis atau mengeluarkan produk makanan, nama premis dan produk tidak dibenarkan menggunakan nama atau agama bangsa lain.

Bagaimanapun, nama-nama umum adalah dibenarkan sekiranya ia tidak memberikan apa-apa perkaitan dengan sesuatu bangsa atau agama, melainkan bangsa dan agama yang digunakan tersebut adalah milik pengusaha premis berkenaan.

Menggunakan nama orang lain yang berasaskan kepada agama atau bangsa tersebut bertujuan mendapatkan keuntungan merupakan suatu amalan yang bertentangan dengan nilai dan norma masyarakat.

Mereka yang melakukan amalan seperti ini wajar dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman yang berat kerana ia bukan sahaja melakukan penipuan tetapi mampu memberi implikasi negatif kepada bangsa atau agama yang digunakan.

Menjadi hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang bersih dan bebas daripada sebarang bentuk penipuan.

Oleh demikian, seluruh masyarakat seharusnya mengambil inisiatif secara kolektif untuk melaporkan amalan seperti ini kepada pihak berkuasa agar tindakan dapat diambil segera.

Keprihatinan masyarakat mampu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa yang mampu hidup dalam keadaan aman dan sejahtera sepanjang masa.